TEMERLOH – Seorang Ahli Parlimen pembangkang menyokong keputusan Perikatan Nasioanal (PN) yang membuat ketetapan sebulat suara menolak Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai Peruntukan Pembangkang.
Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, keputusan yang dibuat oleh PN itu memberi isyarat kepada kerajaan bahawa rakyat akan bangkit menunjukkan ketidakpuashatian dalam menuntut hak mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Katanya, rakyat akan menilai kerajaan sebagai pemerintah yang gagal dan itu merupakan sesuatu yang sangat memalukan.
“Saya nak tahu, apakah MoU ini untuk kami ahli-ahli parlimen pembangkang, tapi ahli parlimen kerajaan ada sign (tandatangan) apa-apa tak…sebab cara yang ditulis ni seolah-olah satu perkara baru dan yang keduanya melanggar perlembagaan.
“Perlembagaan sudah termaktub didalamnya kita kena hormat, patuh kepada perlembagaan,” katanya ketika ditemui pada Muktamar Tahunan Pas, di Kompleks Al-Makmur, di sini, hari ini.
Shahidan yang juga Ahli Parlimen Arau berkata demikian mengulas keputusan PN berhubung penolakan MoU mengenai peruntukam pembangkang.
Terdahulu hari ini, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin menerusi kenyataan berkata, penolakan itu dilakukan kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan; bertentangan nilai budaya, moral dan agama; boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengokong kebebasan.
Katanya, bebarapa syarat yang dikenakan dalam MoU itu dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Malah katanya, PN telah menerima dua set draf cadangan MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen PN yang mana kedua-dua draf cadangan MoU tersebut adalah antara kerajaan Malaysia dan parti PN serta antara kerajaan Malaysia dengan kesemua ahli Parlimen PN.
Menurut Hazmah lagi, draf MoU tersebut juga mengandungi syarat-syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, nilai budaya, nilai moral, agama serta nilai-nilai tempatan.
Dalam pada itu, Shahidan berkata, dengan penolakan tersebut ahli-ahli Parlimen pembangkang hanya akan berkhidmat kepada rakyat mengikut kemampuan yang ada.
“Kita akan usaha jika ada yang datang nak minta makanan dan sebagainya… kita akan pastikan mereka pulang bukan tangan kosong,” tambahnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment