KLUANG - Pemuda Perikatan Nasional (PN) Johor menyifatkan dakwaan DAP kononnya PN menyebarkan surat layang kepada pengundi Cina sebagai tuduhan jahat.
Pengarah Jentera Pemuda PN Johor PRK DUN Mahkota, Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin berkata, surat layang tersebut didakwa menakutkan penduduk Cina supaya tidak keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September nanti.
“PN yakin bahawa DAP ‘baling batu, sembunyi tangan’ kerana DAP yang secara tiba-tiba membuat sidang media mendedahkan semua butiran surat tersebut.
“Sidang media DAP itu seolah-olah satu cubaan untuk menyebarkan isi kandungan surat berkenaan kepada lebih banyak media dan mendedahkan isi kandungannya," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Bilik Gerakan Utama PN PRK DUN Mahkota di Kampung Melayu di sini, pada Ahad.
Pada Sabtu, Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi mengadakan sidang akhbar mengecam tindakan pihak tertentu menyebarkan surat layang tersebut.
Shu Qi berkata, surat layang itu mengajak pengundi Cina menghukum calon Barisan Nasional (BN) pada PRK DUN Mahkota disebabkan pergeseran antara dua pemimpin DAP dan UMNO sebelum ini.
Jelasnya, surat layang itu dikesan dimasukkan dalam peti surat penduduk di beberapa taman antaranya Taman Sri Kluang, Taman Suria, Taman Liang Seng dan Taman Pelangi malam Jumaat.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kematian penyandangnya dari BN, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
PN mempertaruhkan bekas pemain bola sepak Johor, Mohamad Haizan Jaafar, 61, manakala BN meletakkan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah, 40, bagi mempertahankan kemenangan pada pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment