Sumber BN yang enggan dinamakan memberitahu FMT, hanya lapan pusat daerah mengundi (PDM) majoriti pengundinya Melayu yang memihak kepada calonnya Syed Hussien Syed Abdullah, atau dianggap ‘putih’, setakat semalam.
Menurutnya, 10 lagi PDM, yang lapan daripadanya terdiri daripada majoriti pengundi Cina, masih berstatus ‘kelabu’, menawarkan jumlah undi tinggi dan boleh menentukan kemenangan sama ada bagi Syed Hussien atau lawannya, calon Perikatan Nasional (PN) Mohamad Haizan Jaafar.
“Sebab itu tumpuan sekarang ke kawasan ‘kelabu’, jentera kerap turun untuk meminta pengundi, terutama kaum Cina, supaya keluar mengundi Sabtu ini.
Peluang BN menang masih tinggi namun perlu tingkatkan usaha pujuk seramai mungkin pengundi supaya majoriti lebih besar,
kata sumber yang tidak menolak sentimen pengundi terbabit susulan isu pensijilan halal yang membawa perbalahan dua pemimpin Umno dan DAP.
Naib Presiden DAP Teresa Kok sebelum ini mengancam menyaman Ketua Pemuda Umno Dr Akmal Saleh yang didakwa memfitnahnya dalam suatu video TikTok, berkait responsnya terhadap cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan mendapatkan sijil halal.
Kok menuntut ganti rugi RM25 juta daripada Akmal sekiranya gagal menarik balik kenyataan didakwa memfitnah Ahli Parlimen Seputeh itu.
Sementara itu, seorang pengundi dikenali sebagai Ah Ting, 73, mengakui terdapat beberapa individu yang dikenalinya memberitahu mahu mensabotaj calon Umno kerana tidak puas hati dengan sikap Akmal yang didakwa ‘angkuh dan sombong’
Saya tanya mengapa mahu boikot dan mereka jawab tak puas hati dengan Akmal … saya beritahu itu orang luar, bukan semua (ahli) BN atau Umno cakap begitu,
katanya.
Seorang lagi pengundi Mahkota, Ah Lau, 33, bagaimanapun berkata, isu itu tidak mempengaruhi keputusannya untuk menunaikan tanggungjawabnya.
Ahli keluarganya yang berada di luar Kluang juga akan pulang mengundi Sabtu ini, tambahnya.
Tak adalah (nak sabotaj undi), kita mesti mahu undi. Calon sekarang bagus, calon muda, saya pun kenal Syed Hussien orang baik, kami sekeluarga mesti undi beliau,
katanya.
Baru-baru ini, Menteri Besar Johor Onn Hafiz Ghazi berkata, beliau berharap pengundi Cina di Mahkota tidak menghukumnya dengan tidak keluar mengundi.
Beliau mendakwa menerima laporan daripada komuniti perniagaan bahawa pengundi Cina di kawasan itu kurang berminat untuk mengundi kali ini.
Semalam, ketua Umno Johor itu menerusi video di Facebooknya merayu pengundi Mahkota yang bekerja di Singapura supaya pulang mengundi untuk membantu kemenangan BN bagi memberi mesej kestabilan politik.
Permintaan sama turut dibuat penyelaras utama jentera DAP, Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi semalam yang menyeru pengundi agar tidak terpengaruh dengan perbalahan antara Akmal dan Kok sehingga dijadikan pertimbangan untuk tidak keluar mengundi.
Pada PRN 2022, BN menang kerusi itu menerusi Sharifah Azizah Syed Zain dengan majoriti 5,166 undi. Beliau meninggal dunia 2 Ogos lepas akibat pendarahan dalaman.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment