NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PM arahkan SPRM tidak menyiasat Farhash isu pembelian saham, kata laporan



Perdana Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) supaya tidak menyiasat bekas setiausaha politiknya Farhash Wafa Salvador berhubung pembelian kontroversi saham dalam sebuah syarikat yang terlibat dalam pembangunan sistem imigresen baharu bernilai satu bilion ringgit, lapor Bloomberg yang memetik tiga sumber yang disifatkan arif mengenai perkara itu.

Memetik sumber, akhbar kewangan itu turut melaporkan, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki memberitahu pegawainya bahawa siasatan terhadap Dr Mahathir Mohamad, tiga anak lelakinya dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin telah dilancarkan atas arahan Anwar.

Kedua-dua SPRM dan Pejabat Perdana Menteri telah menafikan dakwaan dalam laporan itu yang diterbitkan hari ini.

Pada Mac, Farhash dilaporkan memiliki pegangan saham terbesar dalam sebuah syarikat yang disenarai pendek untuk projek membangunkan sistem imigresen baharu yang menelan belanja satu bilion ringgit.

Pemimpin PKR berusia 41 tahun itu membeli 15.91% pegangan dalam HeiTech Padu Bhd melalui syarikatnya Rosetta Partners Sdn Bhd.

Menurut Farhash, Rosetta Partners merupakan anak syarikat Mfivesouthsea Sdn Bhd, yang dimilikinya bersama Sultan Kelantan, Muhammad V.

Pembelian dalam HeiTech Padu dilakukan sehari selepas MyEG Services Bhd memperoleh 14.4% kepentingan ekuiti dalam syarikat itu dengan wang tunai RM31.25 juta pada 11 Mac.

Pada hari sama, HeiTech Padu mengumumkan telah menerima lanjutan kontrak selama setahun untuk menyelia Sistem Imigresen Malaysia (MyIMM) bernilai lebih RM13 juta.

HeiTech Padu ialah salah satu daripada tiga syarikat yang disenarai pendek oleh kerajaan untuk membangunkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bernilai RM1 bilion bagi menggantikan MyIMM.

Sementara itu, Bloomberg dalam laporannya hari ini berkata kakitangan SPRM turut diarahkan untuk menggambarkan siasatan ke atas Mahathir dan Daim sebagai sebahagian daripada "penyiasatan berterusan terhadap pendedahan mengenai dua kebocoran besar dokumen ", merujuk kepada pendedahan Kertas Pandora dan Panama.

Menurut laporan itu, tindakan Anwar sejak dilantik perdana menteri dilihat bercanggah dengan janjinya ketika memimpin gerakan reformasi selama lebih dua dekad.

Ia berkata Anwar gagal menunaikan janji untuk memansuhkan undang-undang seperti Akta Hasutan, sebaliknya menggunakan undang-undang itu terhadap musuh politiknya termasuk Pengerusi Perikatan Nasional, Muhyiddin Yassin.

"Beliau berdepan masalah kredibiliti yang semakin meningkat," laporan itu memetik pemerhati politik Bridget Welsh.

"Kekecewaan (terhadap Anwar) lebih besar disebabkan harapan yang tinggi," tambahnya.



Sumber | MalaysiaNow 












........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo