NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pertembungan antara sijil halal Jakim dan prinsip halal-haram dalam Islam



Sejauh mana pensijilan halal kerajaan selari dengan prinsip halal-haram dalam Islam menjadi tanda tanya di sebalik perdebatan dicetuskan oleh cadangan menteri hal ehwal agama yang mahu mewajibkan pensijilan halal bagi restoran bukan Islam yang tidak menyediakan makanan yang diharam ke atas umat Islam.

Syed Farid Alatas, profesor sosiologi di Universiti Nasional Singapura, berkata tradisi Islam yang sebenar menganjurkan prinsip bahawa semua perkara adalah dianggap halal melainkan jika dibuktikan sebagai haram.

Menurutnya, ajaran Islam juga menganjurkan seseorang Muslim untuk tidak melakukan "penyelidikan teliti" mengenai status halal sesuatu makanan, dan ini terpakai walaupun di restoran bukan Islam.

Tambahnya, seorang Muslim hanya perlu bertanya sama ada makanan mengandungi bahan tidak halal.

"Tanya kepada pemilik restoran atau tukang masak, adakah ini halal? Jika mereka kata halal, itu cukup untuk kita.

"Jika mereka tipu kita, itu kesalahan mereka," kata Syed Farid, yang banyak mengkaji isu semasa melibatkan masyarakat Melayu-Islam, kepada MalaysiaNow.

Sedekad lalu, pandangan serupa pernah diutarakan Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin, ketika mengulas kontroversi pada 2014 membabitkan produk Cadbury selepas penemuan DNA babi dalam sampel coklat.

"Dalam negara seperti Malaysia yang orang Islam merupakan majoriti, tidak perlu cop halal, kita perlu cop haram," Asri dilaporkan berucap pada satu forum.

Beliau turut menggesa umat Islam supaya tidak terlalu bimbang tentang apa yang mereka makan, dengan memetik prinsip Islam bahawa semua makanan dianggap halal selagi tidak dibuktikan haram.

Katanya, sesuatu yang halal tidak perlu dibuktikan halal.

"Tetapi jika seseorang menuduh sesuatu benda itu haram, maka dia kena buktikan benda itu haram."

Awal bulan ini, Mohd Na'im Mokhtar, menteri yang bertanggungjawab hal ehwal Islam, mencadangkan pensijilan halal yang dikeluarkan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) diwajibkan untuk restoran yang tidak mempunyai menu babi atau menjual minuman keras, merujuk kepada kedai makan milik bukan Islam yang dikunjungi pengguna Islam.

Cadangan itu bagaimana pun mencetuskan polemik selepas kritikan Naib Pengerusi DAP Teresa Kok, yang berkata ia akan mengundang reaksi negatif pemilik restoran.

Cadangan itu akhirnya ditolak Kabinet.

Jakim, badan persekutuan di bawah Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam, mula mengeluarkan sijil halal kepada restoran dan pengeluar makanan pada 1974.

Sejak itu, Jakim menjadi satu-satunya badan yang mempunyai kuasa mengeluarkan sijil halal kepada restoran, di mana pelbagai proses ketat dan pematuhan syarat perlu dipenuhi pemilik.

Beberapa peraturan dikenakan Jakim terhadap pengeluar makanan dan francais yang mahu menggunakan logo halal mengundang kritikan, termasuk larangan menggunakan nama tertentu untuk produk yang diberikan status halal.

Ia menyebabkan beberapa rangkaian makanan segera terpaksa menamakan semula beberapa produk terkenal, bagi mematuhi pengharaman penggunaan istilah seperti "hotdog" dan "root beer" dalam menu mereka.

Pada 2020, sebuah kedai roti menolak permintaan seorang pelanggan untuk menulis ucapan "Selamat Hari Krismas" pada kek yang dipesan untuk rakannya, disebabkan ucapan tersebut melanggar syarat pensijilan halal Jakim.

Pembirokrasian Islam

Syed Farid Alatas.
Syed Farid Alatas.

Syed Farid berkata, sebelum wujud pensijilan halal Jakim, sudah menjadi kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia untuk makan di mana-mana restoran selagi yakin dengan status halalnya.

Bagaimanapun, menurutnya, konsep halal seperti yang ditakrifkan kini telah diputar belit, sambil berkata ia kesan daripada pembirokrasian Islam.

"Jadi mereka mentakrifkan sesuatu yang tidak halal jika tidak mempunyai sijil halal Jakim.

"Ini tidak ada kena mengena dengan agama. Ini adalah birokratisasi agama," tambahnya.

Syed Farid mempersoalkan hikmah di sebalik cadangan mewajibkan restoran yang kerap dikunjungi umat Islam supaya mempamerkan sijil halal Jakim.

Beliau turut tidak bersetuju dengan hujah bahawa ia perlu bagi menangani rasa curiga umat Islam di Malaysia mengenai status dan penyediaan makanan.

"Saya rasa ini lebih kepada kenyataan bahawa pensijilan halal adalah satu industri,” katanya merujuk kepada sektor halal di Malaysia yang kini bernilai berbilion ringgit susulan keperluan yang dikenakan Jakim.

Syed Farid memberi amaran, hujah yang cuba mempertahankan keperluan pensijilan halal Jakim akan hanya mengundang pelbagai masalah lain.

Menurutnya, ada kemungkinan definisi halal Jakim boleh "menjangkiti" sektor lain seperti katering, kafeteria dan juga dewan makan, di mana setiap aspek perlu disahkan "halal" untuk kegunaan orang Islam.

Bagi Syed Farid, Jakim mengambil kesempatan terhadap perasaan "tidak selamat" dalam kalangan sesetengah umat Islam di Malaysia, yang menurutnya terlalu berjaga dan was-was terhadap pengambilan makanan mereka.

Beliau berkata sijil halal Jakim bukan jaminan makanan itu lebih baik.

"Contohnya sama ada restoran daun pisang ada sijil atau tidak, dia masih halal. Tapi, banyak restoran yang ada sijil halal dan kita boleh buktikan bahawa makanannya bukan baik.

"Halal dari erti yang sempit, tak ada babi dan alkohol tapi dari erti yang lebih luas, adakah ianya toyyib atau baik untuk kita?" soalnya sambil memetik contoh restoran makanan segera dan produk teh susu boba yang diberikan status halal Jakim tetapi tidak sihat.

"Seharusnya dilabelkan sebagai makruh," kata Syed Farid. 

Beliau meluahkan kebimbangan apabila wujud segelintir umat Islam yang sangat bergantung kepada sijil halal Jakim untuk menentukan apa yang boleh dimakan atau tidak, walaupun ia bertentangan dengan konsep asas halal.

"Jadi Islam itu difahami sebagai satu sistem peraturan. Berlaku pengusutan daripada Islam kepada peraturan."

Jelasnya, syariat atau peraturan dalam agama sepatutnya menjadi alat untuk mencapai sesuatu yang lebih luas iaitu pembentukan akhlak yang tinggi dalam masyarakat.

"Tujuan dan matlamatnya bukan syariat, tapi akhlak. Tapi kita telah terlebih menitik beratkan syariat. Ini adalah ketidakseimbangan zahir dan batin.

"Dua-dua diperlukan, akhlaknya adalah batin dan zahirnya adalah peraturan."



Sumber | MalaysiaNow 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo