NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peguam kupas fakta kes lampau selepas PM anggap dirinya 'banduan terhormat'

Anwar Ibrahim menganggap dirinya 'bekas banduan terhormat' ketika berucap pada majlis mengingati ulang tahun ke-26 penangkapannya, 20 Sept, 2024.


Seorang peguam tampil mengupas beberapa fakta kes mahkamah yang pernah mensabitkan Anwar Ibrahim, selepas ucapan perdana menteri itu baru-baru ini yang mendakwa dirinya sebagai "bekas banduan terhormat".

Rafique Rashid mempersoalkan Anwar yang menyifatkan pertuduhan terhadapnya bersifat "zalim dan keji", sambil mengingatkan bahawa ia seolah-olah mengatakan seramai lapan hakim mahkamah telah membuat keputusan salah dalam mengendalikan kes beliau. 

Beliau merujuk sabitan kes salah guna kuasa pada 1999, di samping dua sabitan atas tuduhan liwat yang menyaksikan Anwar dipenjarakan pada 2000 dan 2015.

"Ada masanya kita boleh slogan politik, tapi ada masanya undang-undang itu tidak boleh lari daripada lipatan sejarah. 

"Kalaulah betul sekiranya apa yang dikatakan pertuduhan dan makian yang jijik dan fitnah tersebut, adakah tuan-tuan percaya lapan hakim telah buat kesilapan? Adakah tuan-tuan percaya pasukan pendakwaan telah buat kesilapan? Adakah tuan-tuan percaya bahawa bukan satu sahaja mangsa, tapi dua kes, untuk kesalahan yang sama?" katanya dipetik dari klip ucapan tular yang disampaikan pada sebuah program di Kluang, Johor, Sabtu lalu. 

Dalam ucapannya Jumaat lalu sempena mengingati ulang tahun ke-26 penangkapannya pada 20 September 1998, menyerang pemimpin pembangkang yang sering membangkitkan hukuman penjaranya.

"Ya, saya memang bekas banduan, tapi banduan terhormat dengan tuduhan zalim dan keji," kata presiden PKR itu di hadapan penyokong parti yang hadir pada  "Himpunan Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat, Dari Reformasi ke Malaysia Madani" di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Anwar menghalakan serangan terhadap pemimpin PAS dan mengingatkan tentang sokongan parti Islam itu kepadanya sepanjang beliau dipenjarakan.

"Sekarang anak-anak mereka yang jahil tentang sejarah, yang jadi perkakas kepada perasuah, yang menjadi alat kepada pencuri harta, sekarang mau jadi jaguh."

Merujuk sabitan pertama Anwar bagi kesalahan salah guna kuasa sebagai timbalan perdana menteri, Rafique berkata perkara itu satu fakta yang dirakam sejarah. 

"Jadi buatlah berapa banyak perayaan 26 tahun, 27 tahun, 28 tahun 'reformasi suara rakyat, suara keramat' tersebut, tetapi suara mahkamah jauh lebih tinggi dan jauh lebih kukuh daripada suara rakyat," katanya. 

Pada 1999, Anwar dijatuhkan hukuman enam tahun penjara atas pertuduhan salah guna kuasa, di mana beliau didakwa menggunakan jawatannya sebagai timbalan perdana menteri untuk mengarahkan dua pegawai polis berpangkat tinggi mendapatkan empat kenyataan bertulis daripada pemandunya Azizan Abu Bakar dan Ummi Hafilda Ali supaya menarik balik tuduhan salah laku seksual dan liwat.

Setahun selepas itu, Anwar dikenakan sembilan tahun penjara atas tuduhan liwat melibatkan bekas pemandunya Azizan Abu Bakar.

Pada 2004, Mahkamah Persekutuan membebaskan Anwar daripada dakwaan meliwat kerana kekurangan bukti.

Anwar bagaimanapun gagal mengeluarkan satu perenggan daripada penghakiman itu yang menyatakan beliau mempunyai kecenderungan homoseksual.

"Kami menemui bukti untuk mengesahkan bahawa perayu terlibat dalam aktiviti homoseksual dan kami lebih cenderung untuk mempercayai bahawa kejadian yang didakwa di Tivoli Villa memang berlaku, kadangkala, mahkamah ini, mengikut undang-undang, hanya boleh mensabitkan perayu jika pihak pendakwaan berjaya membuktikan kesalahan yang didakwa seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan, di luar keraguan munasabah, atas keterangan yang boleh diterima dan mengikut prinsip undang-undang yang ditetapkan," menurut petikan penghakiman oleh hakim Mahkamah Persekutuan pada 2004 yang kekal sehingga kini.

Azizan Abu Bakar dan Saiful Bukhari
Azizan Abu Bakar dan Saiful Bukhari

Pada 2015, Anwar gagal dalam rayuannya di Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan sabitan bagi pertuduhan liwat kedua melibatkan bekas pembantunya Saiful Bukhari Azlan, di mana beliau dihukum penjara lima tahun.

Bagaimanapun, bagi memenuhi janji Pakatan Harapan sekiranya menang pilihan raya umum 2018, Anwar diberikan pengampunan diraja dan dibebaskan pada Jun tahun itu.

Rafique menyeru kepada ahli-ahli Parlimen untuk mempertahankan sistem kehakiman yang menurutnya rata-rata rakyat Malaysia mudah dipesongkan dengan pelbagai naratif dongeng seolah-olah proses mahkamah digunakan untuk menghukum orang tertentu. 

Menyentuh perbicaraan kes liwat membabitkan Saiful, Rafique berkata Anwar memilih untuk tidak memberikan keterangan di bawah sumpah daripada kandang saksi.

"Dia baca kenyataan daripada kandang tertuduh, di mana dia tidak boleh ditanya soalan atau diperiksa balas oleh pihak pendakwaan.

"Begitulah dongeng rakyat yang dikatakan selama ini bahawa sistem itu digunakan, sistem itu ditanam sebegini rupa sehingga diinjak-injak dan kemudian dikatakan dia merupakan bekas banduan yang terhormat," kata Rafique, yang disambut hadirin dengan sindiran "Nelson Mandela", merujuk percubaan Anwar menyamakan dirinya dengan pejuang kebebasan Afrika Selatan itu.

Rafique menyeru ahli Parlimen mempertahankan sistem kehakiman daripada cuba dipesongkan dengan pelbagai naratif "dongeng" seolah-olah proses mahkamah digunakan untuk menghukum orang tertentu, sambil berkata generasi muda perlu diingatkan mengenai fakta kes.

"Adakah mereka yang lahir selepas 1998 tahu perkara ini? Adakah mereka yang hadir di Axiata Arena tahu perkara ini?"



Sumber | MalaysiaNow 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo