NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Azmin cabar MB umum Kerajaan Perpaduan di Johor bila menang PRK Mahkota



KLUANG – Perikatan Nasional (PN) mencabar Menteri Besar untuk mengumumkan penubuhan Kerajaan Perpaduan di Johor sekiranya menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada 28 September ini.

Ketua Penerangan PN, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Datuk Onn Hafiz Ghazi perlu berani dan telus dalam perkara tersebut kerana sehingga kini tiada Kerajaan Perpaduan di Johor.

“Kena transparent apabila bercakap tentang perpaduan (antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan di Johor), kamu mesti ikhlas dalam hubungan (kerjasama politik).

“Tiada Kerajaan Perpaduan di Johor walaupun Pakatan Harapan (PH) (terdiri daripada) Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Parti Amanah Negara (Amanah) menyokong UMNO selama dua tahun.

“Mereka tidak dapat apa-apa, di mana semangat Kerajaan Perpaduan di Johor? Saya cabar Menteri Besar sekiranya dapat kekalkan kerusi DUN Mahkota, adakah mereka akan bentuk Kerajaaan Perpaduan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program ceramah kelompok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Taman Ilham di sini malam tadi.

Turut hadir Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad, Pengerusi Bersatu Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal dan Yang Dipertua Pas Johor, Abdullah Husin.

Mengulas lanjut, Mohamed Azmin yang juga Pengarah Utama PN bagi PRK DUN Mahkota berkata, pelik apabila Johor tidak mengikut formula peringkat Pusat sedangkan BN dan PN menjalinkan kerjasama politik.

Terdahulu ketika berucap, beliau mempersoalkan Johor yang tidak berkongsi kuasa dengan  mewujudkan Kerajaan Perpaduan dan realiti itu tidak selari di peringkat Persekutuan.

“Nak tanya MB, sekarang zaman Madanon takkan tanya pun tak boleh. Sekiranya mereka dapat kekalkan DUN Mahkota, apakah beliau akan bentuk Kerajaan Perpaduan di Johor?

“Saya tanya secara baik, sebab itu ada dengar Amanah mengamuk kerana sudah dua tahun (kerjasama politik dengan BN di Johor) tapi (jawatan) ketua kampung, ahli majlis, GLC (syarikat berkaitan kerajaan) pun tak dapat, jadi di mana Kerajaan Perpaduannya?” soal beliau.

Dakwanya, PH Johor mendukung sebuah gabungan politik yang tidak mempedulikan mereka.

Mohamed Azmin percaya sekiranya mereka menang lagi dalam PRK DUN Mahkota tidak akan ada perkongsian kuasa dalam kerajaan negeri malah BN akan lebih sombong.

Sebelum ini, Onn Hafiz dilaporkan berkata, tiada keperluan untuk Johor menubuhkan Kerajaan Perpaduan seperti di peringkat Pusat pada ketika ini.

Onn Hafiz yang juga Pengerusi UMNO Johor berkata, ia kerana kerajaan negeri pimpinan BN ditubuhkan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang diadakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Sebelum ini, beberapa pemimpin PH termasuk Timbalan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan meminta agar kerajaan Johor membuat rombakan terhadap barisan Exco dengan memberikan tiga jawatan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PH.

Pada 15 Ogos lalu pula, Amanah Kawasan Kluang mengadakan sidang akhbar menuntut kerusi DUN Mahkota diberikan kepada mereka kerana di Johor belum ada kerajaan perpaduan dibentuk.- MalaysiaGazette








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo