NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keciciran pelajar: KPM sedia hukum ibu bapa ikut undang-undang



BATANG KALI – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak teragak-agak menggunakan peruntukan undang-undang untuk menghukum ibu bapa yang terbukti gagal mematuhi dasar pendidikan wajib 11 tahun persekolahan.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, selepas Rang Undang-Undang (RUU) mengenai dasar itu digubal di Parlimen, beban dan implikasi undang-undang terutamanya terhadap ibu bapa tidak dapat dielakkan.


“Kerajaan tidak teragak-agak melaksanakan undang-undang (dasar pendidikan wajib) jika dilihat ia benar-benar berkesan untuk mengelakkan masalah keciciran pelajaran) kepada anak-anak.

“Maknanya, anak-anak ini telah dinafikan hak pendidikannya,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran Reformasi Pendidikan Program Anak Kita Semarak Potensi Malaysia di Sekolah Kebangsaan Rasa, Hulu Selangor, hari ini.

Hadir sama adalah Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan


Fadhlina bagaimanapun berkata hukuman kepada ibu bapa menerusi peruntukan undang-undang adalah pilihan terakhir.


Ini kerana penyelesaian masalah keciciran pelajaran murid harus bermula dengan kesedaran golongan itu sendiri.

“Soal hukum ini di hujung. Tetapi, kesedaran mesti bermula sekarang untuk pastikan anak-anak ke sekolah dan di Program Anak Kita pun sebahagiannya adalah memberi tanggungjawab dan sama juga ibu bapa,” katanya lagi.

Julai lalu di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh menjejaskan pindaan undang-undang melibatkan dasar pendidikan wajib dari peringkat rendah sehingga ke peringkat menengah dengan tempoh masa 11 tahun persekolahan, dijangka dibentang di Parlimen pada 2025.

Bagaimanapun, menurut Kah Woh tiada garis masa khusus ditentukan oleh KPM untuk pindaan melibatkan Rang Undang-Undang (RUU) Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) pada tahun hadapan.

Mengikut Akta Pendidikan 1996, Seksyen 29A(2) mewajibkan ibu bapa menghantar anak mengikuti pelajaran rendah selama enam tahun.

Dalam RUU berkenaan, ibu bapa boleh didenda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya sekali sekiranya gagal memberikan pendidikan selama 11 tahun persekolahan kepada anak-anak mereka.

Mengikut rekod KPM, kadar keciciran murid dan pelajar sekolah menunjukkan trend penurunan dari 2019 hingga 2022.

Di peringkat sekolah rendah, kadar keciciran murid menurun daripada 0.12 peratus pada 2019 kepada 0.07 peratus pada 2022, manakala untuk peringkat menengah, kadar keciciran menurun daripada 1.14 peratus pada 2019 kepada 0.99 peratus pada 2022.

Bagi tempoh 2019 hingga 2022 pada peringkat sekolah rendah, keciciran murid melibatkan tahun tiga, empat dan enam menunjukkan peningkatan, manakala tahun dua dan lima menunjukkan tiada keciciran murid dan penurunan dalam tempoh tersebut.

Pada peringkat sekolah menengah pula berlaku peningkatan kadar keciciran murid bagi tingkatan dua dalam tempoh 2019 hingga 2022 manakala terdapat penurunan kadar keciciran melibatkan tingkatan tiga, empat dan lima dalam tempoh berkenaan. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo