NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Karma politik Akmal




Orang mungkin membaca Zahid Hamidi tak boleh kawal Dr Akmal Saleh dan kerananya ketua Pemuda Umno itu dilihat makin menjadi-jadi galaknya. Malah, lebih buruk lagi ada yang mengandaikan presiden Umno seakan-akan memberi restu kepada tindakan pemimpin pelapis itu kerana tidak mahu menimbulkan pertelagahan dalam parti.

Ada juga orang membaca tidak mungkin Akmal — antara yang terkehadapan mempertahankan institusi presiden — membelakangkan Zahid dalam kenyataan-kenyataan pedasnya sebelum ini, daripada isu stoking tertera kalimah Allah, pemboikotan rangkaian kedai serbaneka KK Mart, ‘memperbodoh’ seorang menteri hingga kepada serangan terbarunya ke atas Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok.

Mengambil kedudukan ketua Pemuda Umno sebagai ‘lesen’ untuk mengkritik, Akmal terus dilihat lantang menghentam tanpa memilih kawan mahupun lawan hingga ada kalanya menimbulkan rasa kurang selesa dalam kalangan pimpinan Umno sendiri, terutama seorang rakan dalam Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Tapi, seperti kebanyakan mereka, Zahid memilih untuk berdiam diri daripada menegurnya secara terbuka — tak tahulah kalau beliau melakukannya secara terselindung. Atau mungkin juga Akmal sekadar mengikut acuan Zahid sendiri yang terkenal dengan kelantangannya ketika menjadi ketua Pemuda menggantikan Rahim Thamby Chik dari 1994-1999.

Lantaran itu, ramai dalam kalangan pimpinan Umno yang turut mengamalkan ‘elegant silence’ (sikap membisu yang anggun) sebagai mencontohi pendirian Zahid terhadap Akmal. Barangkali ini yang mendorong Akmal lepas bebas dalam nada pertuturannya dengan metafora kereta api yang terlepas daripada kawalan.

Dalam pada itu, dua kenyataan terbaru Zahid seolah-olah turut memberi tempias kepada ketua Pemudanya itu apabila timbalan perdana menteri pada Ahad lalu menjelaskan bahawa kerajaan tidak pernah membuat keputusan mewajibkan semua restoran atau mana-mana industri makanan dan minuman (F&B) di seluruh negara untuk memohon sijil halal.

Jangan paksa orang bukan Islam untuk dapatkan sijil halal,
 kata Zahid yang juga pengerusi Majlis Halal Malaysia ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung MIC di Shah Alam sambil meminta supaya isu halal itu tidak disalah tafsir, apatah lagi ia masih di peringkat cadangan.

Sudah tentu kenyataannya itu bertentangan dengan pendirian Akmal yang terdahulu menempelak Kok yang mendakwa cadangan mewajibkan perolehan sijil halal ke atas restoran dan syarikat makanan hanya menambah beban kepada peniaga.

Naib pengerusi DAP itu mendakwa cadangan mewajibkan restoran dan syarikat makanan memiliki sijil halal hanya akan menambah kesukaran operasi perniagaan dan beban kepada perniagaan kecil selain bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya dan mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Media sebelumnya melaporkan Ahli Parlimen Seputeh itu sebagai mendakwa pensijilan halal seharusnya bersifat sukarela bagi membolehkan pengusaha membuat keputusan berdasarkan permintaan pasaran dan bukan dilaksanakan secara paksa.

Apa masalah kamu dengan sijil halal ini? Kalau kamu tidak suka, ia tidak melibatkan kamu pun,
 kata Akmal sebagai jawapannya melalui TikTok pada 7 Sept. “Yang sebenarnya memalukan negara ini adalah ada ahli Parlimen yang seperti kamu wahai nyonya tua yang tak habis-habis menggugat keharmonian negara.


Kalau kamu tak tahu mengenai agama kami, jangan cakap. Kamu diam lebih elok. Dan saya minta juga pada kerajaan sediakan satu logo non-halal ni tampal kat dahi nyonya tua ni,
katanya dalam klip video yang turut dimuat naik di Malaysiakini.

Kemudian Zahid ketika berucap pada majlis Malam Cinta Rasul di Putrajaya pada Ahad malam mengingatkan umat Islam agar menangani perbezaan pendapat dalam masyarakat dan organisasi dengan adab terbaik mengikuti teladan Rasulullah yang menonjolkan akhlak terpuji serta dicontohi.

Tak mungkin Akmal tidak terasa isi ucapan presidennya itu yang menganjurkan supaya mesti ada adab terbaik jika ada perbezaan pendapat dalam komuniti atau organisasi. Menggelar seorang lebih berusia daripada keturunan berlainan sebagai ‘nyonya tua’ tentunya tidak terkecualikan.

Bukan hendak mengungkit tetapi boikot yang dipeloporinya terhadap KK Mart, Mac lalu — sekalipun selepas pengasas dan pengerusi eksekutif syarikat itu memohon maaf atas kesilapan mempamer 14 pasang stoking tertera kalimah Allah di tiga cawangannya yang tidak disengajakan — dilihat satu tindakan melulu.

Mufti Negeri Perak Wan Zahidi Wan Teh dalam sidang media khasnya pada 3 Mei menasihatkan agar tindakan boikot itu dihentikan kerana selain bertentangan dengan sunnah Rasulullah, satu daripada rukun penting dalam perlakuan jenayah, iaitu niat dan keinginan melakukannya, tidak dapat dibuktikan.

Malah, Anwar Ibrahim sebelum ini enggan melayan kenyataan Akmal yang menggelar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, sebagai 

bodoh
 dan menjadi punca keadaan ekonomi negara lemah.

Saya tidak layan kenyataan seperti itu. Pada fikiran saya, ia bukan konteks yang betul bagi kerajaan perpaduan. Kita harus bekerjasama,
kata perdana menteri pada 14 April terhadap serangan ke atas Nga yang membuat kenyataan bahawa pekerja terpaksa menanggung sengsara akibat boikot yang dimainkan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Akmal juga menyalahkan pengarah pilihan raya Pakatan Harapan (PH) bagi PRK Sungai Bakap, Rafizi Ramli, kerana formula ‘bahlol dan bodoh’ yang diungkapkannya didakwa membawa kepada kekalahan calon PH-Barisan Nasional (BN).

Formula bahlol dan bodoh dari Raja Formula telah mendatangkan hasil di Sungai Bakap. Tahniah rakyat Sungai Bakap. Pemimpin jangan sombong dengan rakyat,
 tulis Akmal menerusi Facebooknya seperti menyalahkan Rafizi walhal pemimpin PKR itu tidak bermaksud kepada pengundi, sebaliknya ditujukan kepada Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin yang dalam satu ceramahnya menggelar perdana menteri dan jemaah menteri bodoh belaka.

Daripada yang ramai, cuma Ahli MKT Lokman Noor Adam yang berani menegur Akmal supaya tidak menjadi jurucakap kepada PN selepas ketua Pemuda itu mempersoalkan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul pada 9 Julai lalu untuk tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang menyokong perdana menteri.

Terbaru, semuanya seakan-akan berbalik kepada Akmal apabila laporan FMT semalam memetik seorang pemimpin Umno yang enggan dikenali sebagai menyatakan ketua Pemuda Umno itu akan diperkecilkan peranannya dalam kempen PRK Mahkota 28 Sept ini sambil BN mahu memastikan undi terbesar masyarakat Cina.

Kempen ‘Boikot PRK Mahkota – Satu undi untuk BN sama dengan satu undi untuk Akmal Umno’ turut tular di media sosial.

Pemimpin PH Johor sebelum ini menyuarakan kebimbangan serangan Akmal terhadap Kok berhubung isu pensijilan halal berisiko mengecewakan orang bukan Melayu yang menyokong PH dan tidak akan keluar mengundi nanti.

Kami faham komen tertentu Akmal sebelum ini mungkin mengguris perasaan pengundi Cina. Mereka akan memainkan peranan penting dalam PRK ini dan kami sedang bekerja keras untuk memastikan mereka beramai-ramai ke pusat mengundi kerana sokongan mereka amat penting untuk kami menang,
 kata pemimpin Umno itu.

Penganalisis juga memberi amaran bahawa kelancangan Akmal mungkin merugikan parti jika pengundi Cina — kira-kira 35% jumlah pengundi DUN Mahkota — memilih untuk tidak keluar mengundi. Ini mengambil pengajaran daripada PRK Sungai Bakap apabila peratusan keluar mengundi rendah dalam kalangan pengundi bukan Melayu membawa kekalahan kepada calon PH-BN.

Ia harus jadi peringatan buat Akmal — di sebalik kesungguhannya memastikan Syed Hussien Syed Abdullah daripada Pemuda Umno ditampilkan sebagai calon BN — seperti tidak dialu-alukan peranan lanjutnya.

Apa pun, tiada individu yang boleh berasakan dirinya lebih besar daripada partinya sendiri. Keutamaan parti hendaklah didahulukan walaupun ia mencalarkan reputasinya.

Akmal — turut hadir memberi sokongan kepada Syed Hussien ketika penamaan calon Sabtu lalu — patut menelan egonya dengan menjauhkan diri daripada kempen PRK Mahkota ini daripada membiarkan BN terpaksa membayar suatu harga yang mahal di atas keterlanjurannya.



Sumber | FMT Malaysia 










........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo