KUALA LUMPUR – Tindakan Pengerusi DAP, Lim Guan Eng menegaskan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok tidak bersalah berkaitan isu pensijilan halal dipersoal.
Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Saari berkata, Ahli Parlimen Bagan itu seolah-olah mempunyai autoriti untuk menentukan status kes melibatkan Teresa yang juga Naib Pengerusi DAP.
“Lim Guan Eng dah sebut dengan jelas, ini bukan isu 3R dan Teresa Kok tidak bersalah. Rupa-rupanya selain hakim, Guan Eng ada autoriti untuk tentukan status kes. Ini benar-benar hebat.
“Hakikatnya kenyataan ini sedang menghina profesionalisme polis. Tapi apakan daya, ini parti terbesar dalam kerajaan,” luah beliau dalam kenyataan di media sosial.
Sementara itu Ahli Parlimen Pasir Mas itu bersetuju dengan kenyataan Presiden Amanah, Datuk Seri Mohamad Sabu bahawa kes membabitkan Teresa akan ‘berlalu seperti berlalunya hari-hari’.
“Benarlah kata bang Mat Sabu, kes ini akan berlalu sebagaimana berlalunya hari-hari. Justeru, Pemuda Amanah yang desak Teresa Kok tarik balik kenyataan sudah boleh diam. Pemuda UMNO yang mahu tampal logo tidak halal pun bolehlah senyap,” kata Ahmad Fadhli.
Guan Eng antara pemimpin DAP yang menemani Teresa memberikan keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Bukit Aman, hari ini .
Dalam sidang medianya, Guan Eng menegaskan Teresa hanya menjalankan tugasnya dalam menyuarakan masalah dan suara hati rakyat berhubung kenyataan pensijilan halal dikatakan membebankan peniaga di Malaysia.
“Apa yang disuarakan Teresa, pendirian parti DAP dapati YB tidak bersalah dan hanya menjalankan tugas sebagai seorang ahli parlimen untuk meluahkan pandangan serta kebimbangan dilahirkan pelbagai pihak.
“Atas dasar itu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke mengarahkan badan guaman DAP dipimpin Syahredzan Johan dan Ramkarpal Singh untuk memastikan Teresa mendapat pembelaan.
“Teresa hanya jalankan tugas dan tidak buat apa-apa salah,” tegas Guan Eng.
Teresa memberi keterangan kira-kira satu jam kepada polis di Ibu Pejabat Bukit Aman hari ini.
Ahli Parlimen Seputeh itu disiasat di Akta 298 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar perkhimatan rangkaian atau kemudahan rangkaian.-MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment