Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Julai lalu mengumumkan nilai eksport bagi industri halal negara pada tahun lepas mencecah RM54 bilion.
Beliau berkata industri halal memainkan peranan penting dalam memangkin pertumbuhan ekonomi negara dan sektor itu berpotensi untuk terus berkembang memandangkan industri halal global yang merangkumi produk dan perkhidmatan diunjurkan mencecah AS$5 trilion menjelang 2030.
Malangnya, prestasi memberangsangkan ini langsung tidak dibanggakan, malah diperlekehkan segelintir pihak dengan memandang rendah usaha yang mampu memberi impak positif dalam industri halal negara.
Polemik sijil halal ini tercetus apabila Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.
Bagaimanapun, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Mohd Na’im Mokhtar menjelaskan terdapat beberapa langkah yang perlu diambil sebelum ia boleh dilaksanakan.
Kenyataan Naim dibantah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok yang menyelar tindakan itu akan menambah beban kepada perniagaan, termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.
Malah Teresa Kok dilaporkan berkata langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.
Bagi penulis, bagaimana mungkin ia boleh dijadikan bahan ejekan saat industri halal telah menyumbang pendapatan berbilion ringgit pada negara?
Di saat kerajaan sedang komited untuk membangunkan produk halal dengan meningkatkan bilangan usahawan yang mengeluarkan produk berstatus halal agar berpeluang menembusi pasaran eksport dalam industri halal, muncul pula tohmahan terhadap industri ini.
Dakwaan pensijilan halal dikhuatiri menambah beban peniaga pun tidak wajar dibangkitkan saat ia memberi keuntungan daripada sudut kesihatan buat peniaga serta pengguna secara umum.
Mungkin Teresa Kok terlepas pandang banyak kajian telah membuktikan makanan disediakan secara halal telah terbukti menjamin kesihatan mereka yang memilih ia sebagai gaya hidup.
Tidak sekadar itu, ia juga tidak menyiksa haiwan yang dibunuh bagi mendapatkan dagingnya seperti tanpa disembelih seperti mencucuk leher, menghempap dengan batu atau cara selain daripada sembelihan mengikut kaedah Islam.
Hasil kajian pakar dari Jerman, Profesor Wilhelm Schulze dan rakannya, Dr Hazim di Sekolah Perubatan Veterinar, Universiti Hannover mendapati amalan mengenakan kejutan elektrik ke atas haiwan sebelum dibunuh seperti diamalkan Barat, mendatangkan kesakitan yang amat sangat pada haiwan berbanding penyembelihan melalui kaedah Islam.
Islam mengajar supaya sembelihan dilakukan dengan pisau tajam bagi memotong bahagian leher untuk memutuskan dua urat utama atau urat mareh.
Hasil ujian dilakukan Profesor Wilhelm Schulze dan Dr Hazim mendapati, penyembelihan menurut kaedah Islam memperlihatkan tiga saat pertama ketika disembelih, rekod electroencephalograph (EEG) tidak mencatatkan sebarang perubahan pada graf sama seperti sebelum penyembelihan.
Keadaan itu membayangkan bahawa haiwan itu tidak berasa sebarang kesakitan ketika atau sebaik saja pisau memotong urat leher terbabit. Untuk tiga saat kedua, EEG mencatatkan keadaan tidur lena atau tidak sedar diri. Ini disebabkan banyak darah mengalir keluar dari badan.
Selepas enam saat, EEG mencatatkan paras sifar, menunjukkan haiwan itu tidak merasai sebarang kesakitan. Ketika mesej otak (EEG) jatuh ke paras sifar, jantung masih mengepam dan badan haiwan masih dapat bergerak akibat tindak balas daripada saraf tunjang, menyebabkan semua darah keluar dari badan haiwan menghasilkan daging yang selamat untuk dimakan.
Bagaimanapun, ketika mengkaji kaedah Barat yang menggunakan Pistol Kejutan (CBP), haiwan dikesan terus pengsan sebaik saja menerima tembakan CBP dan EEG menunjukkan bacaan amat sakit pada haiwan. Jantung haiwan berhenti berdenyut lebih awal selepas terkena kejutan berbanding haiwan yang disembelih.
Keadaan itu menyebabkan banyak darah masih terkumpul dalam daging dan ia sebenarnya tidak selamat untuk dimakan.
Kajian juga menunjukkan kaedah mematikan haiwan yang digunakan oleh Barat dan bukan Islam, turut dikatakan menjadi punca kepada penularan wabak penyakit lembu gila daripada haiwan kepada manusia.
Maka kesimpulan kepada kajian terbabit jelas membuktikan bahawa penyembelihan menurut kaedah Islam adalah cara yang terbaik bukan saja untuk kebaikan haiwan itu sendiri tetapi juga memberi manfaat kesihatan kepada manusia.
Ini baru sudut penyembelihan, belum lagi kebersihan pengurusan dalam mendapatkan sijil halal.
Jadi apa lagi alasan yang mahu dibina dalam menyokong pemerkasaan industri halal di negara ini?
Buat mereka yang beragama Islam, hayatilah surah Al-baqarah, ayat 172 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah dari benda-benda yang baik (yang halal) yang telah Kami berikan kepada kamu dan bersyukurlah kepada Allah, jika betul kamu hanya beribadat kepadaNya”.
Usahlah meremehkan perintah Allah dengan cubaan menjustifikasi itu dan ini demi sentimen politik. – The Merdeka Times
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment