KLUANG – Perikatan Nasional (PN) bimbang kunjungan Speaker Dewan Negeri Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi bersama-sama delegasi Barisan Nasional (BN) untuk lawatan sambil belajar ke China ketika ini akan membawa ideologi komunis dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
Pengerusi PN Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, pihaknya bimbang fahaman komunisme akan menular dan meresap dalam kalangan ahli UMNO.
“Kita lihat dia membawa beberapa pemimpin UMNO ke sana dan melihat politik di negara Cina. Kita sedia maklum bahawa negara China berideologi komunis.
“Kita khuatir, kita tidak mahu akhirnya dewan negeri Johor terutamanya diresapi ideologi komunis, jadi kita harap pihak-pihak yang berkenaan dapat mengambil apa-apa tindakan yang betul,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas program makan tengah hari bersama beliau selaku Pengarah PRK DUN Mahkota dengan pengamal media di Taman Seri Impian, di sini, hari ini.
Beliau mengulas berkenaan kenyataan Mohd Puad yang memuat naik hantaran dalam Facebook miliknya kelmarin berkenaan perkara itu termasuk lawatannya ke Sekolah Jawatankuasa Parti Perbandaran Parti Komunis China (PKC) Beijing, tempat kader PKC dilatih.
Dalam hantaran tersebut, Mohd Puad berkata, di China sekolah politik mereka berada di mana-mana dari peringkat Pusat hinggalah ke provinsi, daerah dan perbandaran.
Katanya, sekolah politik mereka berkembang jauh hingga ke peringkat post graduate.
“Semua pegawai kerajaan dan ahli parti akan mengikuti sekolah politik. Ini cara mereka mengindoktrinasi rakyatnya dengan ideologi Parti Komunis Cina,” ujar Mohd Puad.
Tambah Mohd Puad, mereka akan menghadiri satu lagi siri syarahan dan beliau akan pulang ke tanah air dan membantu kempen BN dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.
Terdahulu Dr Sahruddin yang juga Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Johor membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang supaya siasatan dan tindakan dapat dilakukan berhubung perkara tersebut. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment