KLUANG – Beberapa kawasan Melayu dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang sebelum ini dikategorikan kelabu bagi Perikatan Nasional (PN) kini didakwa sudah putih.
Penolong Setiausaha Agung Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, dapatan tersebut adalah berdasarkan kajian dan culaan terkini jentera PN.
Menurut Yang Dipertua Pas Kawasan Kluang itu, sikap pengundi Melayu itu sudah berubah tidak seperti sebelum ini yang sukar didekati dan merupakan penyokong tegar UMNO.
“Sebelum ini (pilihan raya terdahulu) bertemu pengundi saluran satu dan dua pengundi Melayu, memang sudah tahu mereka akan undi Barisan Nasional (BN).
“Tetapi sekarang ini apabila bertemu, mereka tidak menunjukkan sikap siapa yang akan mereka berikan undi dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Mahkota.
“Kita lihat rata-rata pengundi dalam DUN Mahkota seperti di PDM (pusat daerah mengundi) kawasan Melayu, contohnya di Kampung Baru sudah berubah.
“Bila hadir kita di peringkat awal culaan mendapati kawasan itu kelabu dan ini dimaklumkan petugas kita dari Johor dan seluruh negara yang turun membantu.
“Terkini apa yang berlaku di Kampung Baru, culaan yang dilakukan sekarang sudah menjadi putih,” katanya ketika berucap dalam ceramah kelompok di PDM Taman Ilham di sini malam tadi.
Katanya, itu merupakan satu daripada PDM yang sudah mempunyai pengundi putih PN sekali gus menunjukkan sokongan orang Melayu sudah berubah.
Beliau beranggapan penolakan terhadap UMNO dan BN itu disebabkan dasar Kerajaan Perpaduan yang membebankan rakyat sejak memerintah lebih dua tahun lalu.
Khairul Faizi mendakwa, UMNO sudah tersepit dan sedang memujuk pengundi Cina untuk mengundi mereka pada PRK DUN Mahkota.
Namun, ujarnya, menerusi maklumat semasa bertemu pengundi Cina dan pemimpin DAP, kaum tersebut dijangka akan berubah sokongan kepada PN pada kali ini.
PRK itu diadakan susulan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 64, pada 2 Ogos lalu.
Ini akan menyaksikan pertembungan calon PN, Mohamad Haizan Jaafar, 61 yang merupakan bekas pemain bola sepak Johor dengan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussien Syed Abdullah.
Pada PRN 2022, Sharifah Azizah menang dengan majoriti 5,166 undi dalam persaingan empat penjuru, melibatkan calon Pakatan Harapan (PH), PN dan Warisan.- MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment