NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BDS masih tunggu status laporan polis terhadap syarikat didakwa terlibat hantar bahan letupan ke Israel



Pergerakan antarabangsa memulau Israel masih belum menerima apa-apa kemas kini daripada pihak polis berhubung sebuah syarikat tempatan yang didakwa terlibat menguruskan penghantaran bahan letupan ke negara Zionis itu, dua minggu selepas laporan polis dibuat. 

Boycott, Divestment, Sanctions (BDS) cawangan Malaysia berkata ia masih tidak tahu sama ada siasatan sudah dimulakan dan syarikat yang dinamakan dalam laporan polis itu sudah disoal. 

"Malangnya setakat ini kita masih belum menerima maklumat tentang tindakan yang dlakukan terhadap syarikat yang terbabit," Presiden BDS Malaysia, Nazari Ismail memberitahu MalaysiaNow. 

Pada 13 September, BDS dan sekumpulan aktivis pro-Palestin membuat laporan polis terhadap sebuah syarikat tempatan, United 07 Asia Sdn Bhd, yang menurutnya menguruskan penghantaran lapan kontena bahan letupan ke Israel.

Berdasarkan maklumat yang diterimanya dari luar negara, BDS berkata kapal kargo MV Kathrin yang membawa bahan itu akan bertolak dari Vietnam ke Singapura sebelum tiba di Bar, Montenegro pada hari ini.

Tambahnya, penghantaran bahan letupan itu akan melalui jalan laut dari Vietnam ke Singapura sebelum ke Slovenia, seterusnya meneruskan perjalanan darat ke Israel. 

"Ibu pejabat syarikat ini di Asia adalah di Kuala Lumpur, bernama United O7 Asia Sdn Bhd. Kami mempunyai maklumat bahawa MV Kathrin adalah antara kapal yang dikendalikan oleh syarikat ini.," katanya.  

Sebelum ini, Malaysiakini melaporkan syarikat kargo berpusat di Denmark, Ocean7 Projects ApS, yang merupakan pemilik bersama United O7 Asia menafikan dakwaan itu.

Syarikat itu mendakwa United 07 Asia tidak mempunyai kaitan dalam penghantaran kontena itu dan berkata kapal MV Kathrin bukan milik syarikat tersebut, sebaliknya merupakan ejen untuk pemiliknya yang berpangkalan di Eropah. 

Ocean7 juga dilaporkan berkata pelayaran kapal itu tidak akan berhubung dengan mana-mana pelabuhan di Israel. 

BDS bagaimanapun mempertikaikan penafian itu yang menurutnya dibuat tanpa bukti. 

Menurut BDS, isu utama adalah destinasi terakhir kontena yang mengandungi bahan letupan itu - Israel - di mana ia akan digunakan sebagai bom dan peluru berpandu.

Ia turut menjelaskan bahawa pihak berkuasa di Namibia telah membatalkan permit MV Kathrin untuk berlabuh di pelabuhan negara itu selepas mendapati lesen import dikeluarkan oleh Kementerian Ekonomi Israel menyatakan ia membawa bahan letupan Hexogen/RDX yang dipesan oleh IMI Systems.

BDS berkata laporan polisnya berkisar mengenai penglibatan United 07 Asia dalam mengendalikan penghantaran kontena terbabit. 

Menurutnya, syarikat kargo itu tidak jujur apabila mengatakan kapal MV Kathrin tidak menyalahi undang-undang.

"Dokumentasi untuk kargo tersebut, termasuk letupan RDX, mungkin teratur dan mematuhi peraturan-peraturan perdagangan antarabangsa. 

"Bagaimanapun, dalam isu genosid, sama ada yang mungkin berlaku atau yang telah berlaku, pencegahan atau penghentian jenayah terhadap kemanusiaan ini adalah lebih utama daripada peraturan-peraturan perdagangan antarabangsa," kata BDS pada 15 September. 

Nazari berharap pihak berkuasa dapat bertindak terhadap laporan polis itu. 

"Dan jika betul, tindakan tegas mesti diambil terhadap syarikat itu." 

MalaysiaNow masih menunggu jawapan balas United-O7 Asia dan pihak polis.

Isu itu yang terkini dalam siri kebimbangan mengenai penglibatan tidak langsung Malaysia dalam operasi ketenteraan Israel, yang setakat ini telah membunuh lebih 40,000 penduduk Gaza.

Ia di sebalik kontroversi keputusan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim menjual saham dalam syarikat pengurusan lapangan terbang seluruh negara kepada sebuah syarikat milik BlackRock, pengurus dana AS yang berdepan tuduhan bersubahat dengan jenayah perang Israel.

Sebelum ini, Anwar dibidas aktivis Palestin susulan kenyataannya bahawa Malaysia tidak dapat memutuskan hubungan dagang dengan syarikat yang mesra dengan Israel. 



Sumber | MalaysiaNow 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo