KUALA LUMPUR – Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M Saravanan menggesa semua sayap parti itu agar lebih proaktif dalam mendepani pelbagai cabaran masa depan sambil terus membina legasi.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tapah berkata, masih ramai lagi dalam kalangan ahli dalam MIC tidak faham apakah perbezaan antara membina legasi dan aktiviti politik yang menjadi tanggungjawab mereka.
“Parti ini sudah melalui pelbagai onak dan duri lebih 78 tahun, hakikatnya kita bukanlah parti politik sebaliknya sebuah parti yang berjuang untuk dan demi rakyat.
“Kerana itu juga, saya berani cakap dengan anda, apabila berlakunya sesuatu terutamanya kepada komuniti kita, yang pertama akan muncul berjuang dan memberi adalah kita juga, walaupun pada hari ini terlampau banyak parti-parti lain di negara ini.
“Berbanggalah dengan MIC yang telah berjuang untuk sekian lama dan masih lagi terus berjuang walaupun pada hari ini kita tidak memiliki jawatan dalam kerajaan, kita masih dan mampu berdiri teguh. Inilah parti masyarakat. Tetapi anda semua perlu tahu apa itu membina legasi dan aktiviti politik,” ucapnya ketika Konvensyen Perwakilan Wanita, Pemuda, Putera dan Puteri MIC di sini hari ini.
Sambung Saravanan lagi, ramai pemimpin tersohor MIC telah berjaya membina legasi hingga nama mereka masih lagi menjadi sanjungan dan contoh untuk mereka yang mengemudi parti ketika ini.
“Sehingga hari ini, ibu pejabat kita di panggil Menara Manikavasagam, bukan menara MIC. Ia kerana beliau telah meninggalkan pelbagai jasa yang menjadi sebutan. Begitu juga dengan mendiang Tun VT Sambathan yang banyak menabur bakti untuk rakyat tidak kira kaum sehingga ada nama jalan yang dikhaskan untuknya.
“Bagaimana pula dengan mendiang Tun Samy Velu, tanpa beliau tidak mungkin kita punya aset dan nama dalam sejarah politik negara ini. Jasanya itu kita tidak boleh ukur langsung. Mereka-mereka inilah membina legasi, meninggalkan nama bukan sahaja untuk disanjung sebaliknya untuk kita ikuti. Kehebatan itu perlu dikatakan sepanjang zaman dan
“Anda tahu, ketika Tan Sri Vigneswaran menjadi Pemuda MIC Kebangsaan, beliau yang pertama bergelar yang berhormat dari parti ini, standard itu yang memberikan kita kelebihan supaya sayap pemuda diperkasakan selepas itu, juga kerana presiden hari ini, kita dapat aset tambahan 20 hingga 30 juta.
“Inilah maksud saya, aktiviti yang kamu lakukan itu tidak penting tetapi apakah legasi dan cabaran yang perlu kamu tempuhi untuk parti ini bagi generasi masa depan, itulah yang perlu menjadi fokus kamu semua,” tegasnya.
Dalam pada itu, Saravanan sempat memuji ucapan Ketua Pemuda MIC Kebangsaan, Arvind Krishnan kerana fokus pada keperluan dan perjuangan parti pada masa akan datang.
Kata beliau, MIC perlu bangkit lebih berani dan mara ke depan mengikut peredaran masa tidak kira apa jua cabaran.
“UMNO dan DAP yang satu ketika dahulu seteru untuk sekian lama akhirnya boleh duduk sepentas, begitulah senario politik yang boleh berubah pada bila-bila masa sahaja, kita perlu sentiasa bersedia untuk perubahan dan bangkit.
“Bukan sahaja bangkit tetapi ada atau tidak jawatan, kita perlu terus perkasakan parti dan masyarakat. Dulu ramai yang menuding jari, memfitnah MIC dengan pelbagai cara. Hari ini, anda semua bangkit persoal apa yang tidak betul. Guna balik cara sama cuma jangan sewenang-wenang seperti mereka itu.
“Tiga tahun akan datang ini akan lebih mencabar, jadi bersedialah. Pastikan pemerkasaan terus dilakukan pada peringkat sayap-sayap ini. Tan Sri Presiden sedang melaksanakan pelbagai transformasi, anda semua perlu seiring,” tegasnya. -MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment