KLUANG – Pengundi Mahkota diingatkan supaya memilih wakil rakyat yang boleh menjaga kebajikan mereka terutama ketika berdepan bencana pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) itu pada Sabtu ini.
Ahli Parlimen DAP Jelutong, RSN Rayer berkata, pengundi DUN Mahkota serta rakyat keseluruhannya dapat menilai sendiri wakil rakyat daripada pembangkang atau Perikatan Nasional (PN) ketika kawasan mereka berdepan bencana seperti banjir di Alor Setar, Kedah baru-baru ini.
Ujar beliau, selain Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sendiri yang berada di Jepun ketika bencana itu, Ahli Parlimen Alor Setar, Afnan Hamimi Taib Azamudden juga didakwa tidak kelihatan.
“Bayangkan MB Kedah masa banjir hilang, Ahli Parlimen Alor Setar pun hilang, yang turun bantu siapa? PM kita (Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim).
“Tetapi mereka (PN) selalu menghentam (Anwar), selalu cakap kosong, bila rakyat susah mereka hilang.
“Jadi, apa yang ADUN PN boleh buat di sini (jika menang PRK DUN Mahkota), satu sen pun mereka tak boleh bagi,” katanya ketika berucap pada Ceramah Berkelompok Perpaduan di sini malam tadi.
Sebelum ini, beberapa pihak mempersoalkan ketiadaan Muhammad Sanusi ketika Alor Setar dilanda banjir yang mana Menteri Besar Kedah berkenaan berada di Jepun atas urusan rasmi untuk mempelajari proses pengurusan operasi empangan bawah tanah di wilayah Kumamoto.
Sementara itu, Rayer berkata, pengundi DUN Mahkota juga perlu menilai tindak-tanduk pemimpin PN yang disifatkan tidak menghormati institusi diraja.
Beliau mengambil contoh berkenaan kes mahkamah Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang disiasat kerana didakwa mempersoalkan peranan Yang di-Pertuan Agong selain Muhammad Sanusi sendiri yang sekali lagi memohon ampun kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung kenyataannya yang mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan menteri besarnya.
Dalam pada itu, Rayer berkata, pengundi DUN Mahkota perlu memastikan kemenangan besar calon BN, Syed Hussein Syed Abdullah pada Sabtu ini, untuk menghantar mesej yang mana bangsa Johor dan rakyat keseluruhannya memberi keutamaan kepada perpaduan.
Jelasnya, walaupun banyak pihak menyatakan calon BN itu boleh memenangi PRK tersebut, namun jentera Kerajaan Perpaduan tidak boleh leka kerana kemenangan sebenar adalah dengan memastikan Syed Hussein mendapat majoriti yang besar. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment