NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Akad luar biasa, status perkahwinan pengikut Global Ikhwan cetus tanda tanya

Video disebarkan badan NGO Pukas, menunjukkan upacara akad nikah luar biasa dikendalikan Global Ikhwan. Gambar: Facebook




Video klip tular yang menunjukkan sebuah sesi akad nikah melibatkan pengikut  Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) kini menjadi perhatian, beberapa hari selepas kumpulan didalangi bekas pengikut ajaran sesat Al-Arqam itu menjadi tumpuan siasatan polis berhubung penderaan seksual kanak-kanak.

Klip dikongsi oleh Pusat Kajian Ajaran Sesat (Pukas), badan NGO yang aktif membongkar aktiviti GISBH, menujukkan upacara nikah dengan lafaz akad yang diubah, mencetuskan pelbagai reaksi termasuk mempersoalkan sama ada perkahwinan yang dijalankan itu sah di sisi undang-undang tempatan dan syariat Islam. 

Dalam video tersebut, lafaz akad yang digunakan berbunyi:

"Aku terima nikahnya [nama perempuan] dengan mas kahwin satu pusingan aurad Muhammadiah," merujuk kepada amalan zikir pengikut Al-Arqam, sebuah kumpulan yang terkenal dengan amalan poligami dan aktiviti perniagaan, yang diharamkan di bawah pentadbiran Dr Mahathir Mohamad pada 1994.

Pukas menyeru pihak berkuasa agama menjalankan siasatan.

"Bukan bab perkahwinan sahaja, penceraian (juga) kerana arahan pemimpin juga merupakan masalah yang berlaku dalam kumpulan ini. 

"Bab mas kahwin dan bacaan aurad Muhammadiah juga perlu dibincangkan," katanya.

Sebelum ini, serbuan polis di bawah "Ops Global" di Selangor dan Negeri Sembilan mengejutkan negara apabila mendapati 400 kanak-kanak berusia tujuh bulan hingga 17 tahun menjadi mangsa pengabaian, amang seksual dan perbuatan cabul seperti liwat.

Pelbagai pihak turut melahirkan rasa hairan dengan pendedahan bahawa aduan polis terhadap GISBH telah pun timbul seawal 2011. 

Kelewatan untuk bertindak itu turut mendapatkan perhatian Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam), menggesa pihak berkuasa tempatan turut diberi kuasa untuk memantau rumah kebajikan.

Semalam, Ketua Polis Negara Razarudin Husain berkata terdapat kanak-kanak yang diselamatkan di-bin-kan dengan "Abdullah" kerana status perkahwinan ibu bapa mereka tidak didaftarkan di pejabat agama. 

Selain itu, katanya, terdapat juga ibu bapa yang tidak mengakui kanak-kanak yang diselamatkan adalah anak kandung mereka memandangkan pihak pengurusan GISBH mendakwa mereka terdiri daripada anak yatim. 

"Kebanyakan anak-anak ini adalah anak ahli yang tidak tahu bahawa anak mereka telah diselamatkan. Mungkin juga mereka tidak mahu tampil kepada kita untuk mengaku ini anak-anak mereka disebabkan GISBH mengaku bahawa anak-anak ini anak-anak yatim," kata Razarudin. 

GISBH ialah syarikat yang ditubuhkan bekas pemimpin Al-Arqam, dengan aset bernilai ratusan juta ringgit dan rantaian aneka perniagaan di 20 buah negara dan pemilikan aset seperti hotel dan restoran.

Syarikat itu menafikan tuduhan ia terlibat dengan eksploitasi kanak-kanak, menyifatkannya usaha bersifat "prasangka, fitnah dan berniat jahat untuk mewujudkan persepsi negatif", walaupun Nasiruddin Mohd Ali dilaporkan mengakui wujud kes liwat di rumah jagaannya.

Al Arqam diasaskan oleh Ashaari Mohammad yang aktif melibatkan diri dalam perniagaan. 

Ia diharamkan kerajaan pada 1994, dan beberapa pemimpin atasan termasuk Ashaari, yang dikenali sebagai "Abuya" oleh pengikutnya, ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengharaman Al-Arqam bagaimanapun tidak berjaya memadamkan aktiviti dan ideologi kumpulan itu, di mana pengikut hidup dalam perkampungan dan komuniti dengan ekosistem sendiri dan mengamalkan poligami secara meluas.

Antara pengkalan Al-Arqam terkenal ialah di Sungai Penchala berhampiran Taman Tun Dr Ismail yang menempatkan pelbagai kemudahan dan industri bagi membiayai kumpulan itu.

Ketika zaman kegemilangannya, Al-Arqam dikatakan menarik sebanyak 12,000 ahli dan lebih 200,000 pengikut, termasuk golongan profesional dan teknokrat, dan memiliki pelbagai cabang industri sains dan teknologi, hartanah, kejuruteraan, penerbitan buku, pelancongan dan peruncitan.



Sumber | MalaysiaNow 








........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo