NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

4 negeri bersedia pacu perubahan besar di bawah kerjasama SG4

Menteri besar mewakili anggota SG4 dan pemimpin Perikatan Nasional lain bersama Dr Mahathir Mohamad (tengah) pada sidang kemuncak kesatuan itu baru-baru ini di Bangi, Selangor.


Selepas sekian lama digambarkan sebagai miskin dan mundur, pakar mengalu-alukan langkah empat negeri di bawah pentadbiran pembangkang untuk melakukan lonjakan ekonomi melalui pembentukan sebuah entiti baharu yang menguruskan sumber kekayaan Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu, yang menyertai pakatan 'State Government 4' (SG4).

Mereka menyifatkan empat negeri itu, meliputi sebahagian besar wilayah utara dan Pantai Timur semenanjung dengan bilangan penduduk satu perlima daripada jumlah penduduk Malaysia, dalam kedudukan yang strategik untuk menjadi pemain utama ekonomi di bawah perkongsian baharu itu.

Awal bulan ini, pemimpin mewakili SG4 mengumumkan penubuhan SG4 Group Sdn Bhd, syarikat yang akan mengagihkan kekayaan di antara negeri-negeri itu, dalam sidang kemuncak dihadiri penasihatnya, bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, orang yang bertanggungjawab menjadikan Malaysia antara ekonomi terkemuka di Asia.

Syarikat SG4 tertumpu kepada usaha menarik pelaburan dan memanfaatkan rezab besar unsur nadir bumi (REE), tanah pertanian untuk pengeluaran makanan, di samping pembangunan industri tenaga hijau.

Ia mempunyai lima kluster utama: infrastruktur dan logistik; perdagangan, pelaburan dan industri; pertanian dan sekuriti makanan; pendidikan dan modal insan serta sumber pendapatan baharu.

Menurut Menteri Besar Terengganu Ahmad Samsuri Mokhtar, setakat ini Korea Selatan, Jepun dan China telah menunjukkan minat.

Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata SG4 boleh menyediakan zon perindustrian yang lebih besar dan lebih banyak pilihan kos efektif, ketika pembangunan di negeri lain di Pantai Barat sudah hampir tepu.

Pakar ekonomi Ahamed Kameel Mydin Mira berkata SG4 boleh membawa perubahan besar kepada ekonomi negeri-negeri ini.

Beliau merujuk kekuatan sektor pertanian yang dimiliki Perlis, Kedah dan Kelantan, kekayaan minyak Terengganu dan zon perindustrian Kedah.

"Apa yang perlu dilakukan terlebih dulu oleh negeri-negeri ini ialah mengambil kira semua potensi sumber asli yang ada pada mereka dan merancang pembangunan ekonomi mereka dari pangkalan itu," katanya kepada MalaysiaNow.

Ahamed Kameel melahirkan keyakinan pertanian akan berkembang menjadi sektor ekonomi yang menguntungkan sekiranya diuruskan secara sistematik.

Bagaimanapun, dalam mencapai matlamat itu, negeri-negeri perlu menghapuskan semua halangan birokrasi, terutama yang membabitkan agensi negeri dan persekutuan.

"Mereka harus memberi tumpuan kepada peningkatan produktiviti melalui teknologi canggih seperti Internet Perkara (IOT) dan kecerdasan buatan (AI) dalam pertanian," katanya, mengulangi topik yang kerap disebut pakar ekonomi dalam memastikan keterjaminan makanan di Malaysia.

Malaysia kini membelanjakan RM70 bilion untuk mengimport makanan, termasuk sayur-sayuran, buah-buahan dan hasil ternakan.

"Pendidikan, latihan, dan pembinaan kapasiti mesti saling berkisar di sini supaya bakat yang sesuai dapat dikenal pasti di negeri-negeri ini," kata Ahamed Kameel, sambil merujuk kepada trend penghijrahan penduduk empat negeri itu ke negeri Pantai Barat untuk mencari pekerjaan.

Beliau berkata SG4 perlu membangunkan industri huluan (upstream) dan hiliran (downstream).

Sebagai contoh, beliau berkata Terengganu boleh menerajui pembangunan industri berasaskan petroleum seperti pelincir, baja dan farmaseutikal.

Penyelidik Adilah Zafirah Mohd Suberi berkata dengan berbekalkan kekayaan asli dan sumber manusia yang besar, tiada apa yang menghalang empat negeri itu daripada mengatasi negeri yang lebih maju.

Menurutnya, adalah sesuatu yang malang masih wujud jurang pembangunan selepas berdekad-dekad kemerdekaan, di samping program Dasar Ekonomi Baru dan pelbagai koridor ekonomi untuk meningkatkan pertumbuhan.

"Kelemahan persekutuan dalam pembentukan negara yang seimbang dan ketidakstabilan politik negara menyebabkan negeri-negeri pembangkang mengambil inisiatif seperti SG4," katanya.

Doris Liew dari badan pemikir IDEAS Malaysia bersetuju bahawa SG4 memberikan harapan, namun masih ada persoalan yang perlu dijawab.

"Walaupun kerajaan negeri boleh mewartakan tanah dalam memberikan keutamaan kepada industri, hakikatnya kerajaan persekutuan masih berkuasa ke atas insentif pelaburan seperti memberi pelepasan cukai dan geran.

"Dua bidang kuasa ini boleh merumitkan keupayaan SG4 untuk menarik pelabur," katanya.

Liew turut membangkitkan isu modal permulaan SG4 Group Sdn Bhd.

Menurutnya, sesebuah negeri mempunyai pilihan terhad untuk menguruskan sumbernya, berbeza dengan kerajaan persekutuan yang boleh memperuntukkan sebahagian daripada bajetnya kepada dana kekayaan negara.

Beliau berkata kejayaan SG4 amat bergantung kepada perancangan teliti, perkongsian strategik dan penyelarasan berkesan antara kerajaan persekutuan dan negeri.

"Maklumat yang lebih terperinci mengenai struktur syarikat, sumber pembiayaan dan strategi pelaburan khusus diperlukan untuk menilai potensi penuh syarikat," katanya.

Ke arah itu, Adilah berkata iltizam membangunkan negara memerlukan politik kepartian diketepikan.

"Kita belum mencapai kesatuan nasional, malah polarisasi semakin meluas," katanya.



Sumber | MalaysiaNow 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo