Maimunah dilantik datuk bandar KL minggu lalu, menggantikan Kamarulzaman Mat Salleh yang menamatkan perkhidmatannya 14 Ogos lalu.
Pengerusi Save Kuala Lumpur, M Ali berharap Maimunah akan turun padang mendengar keluhan mereka.
Kami merayu beliau berinteraksi dengan penduduk Kuala Lumpur, bukan saja mereka yang ada kaitan di peringkat politik, komersial atau korporat, tetapi rakyat biasa juga,
katanya kepada FMT.
Beliau menaruh harapan tinggi terhadap Maimunah, yang berpengalaman selama 39 tahun dalam perancangan dan penjanaan semula bandar, untuk membawa dinamisme baharu kepada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Tak puas hati dengan Datuk Bandar terdahulu
KK Tai, presiden Persatuan Penduduk Taman P Ramlee, memuji kerajaan mengambil langkah berani melantik Maimunah, yang berikrar mengutamakan rakyat, keterangkuman dan kelestarian.
Beliau yang tidak berpuas hati dengan prestasi Datuk Bandar terdahulu, mendakwa Kamarulzaman gagal menangani rayuan persatuan itu untuk membatalkan satu arahan pembangunan dikeluarkan DBKL selama bertahun-tahun.
Awal bulan ini, kumpulan itu memulakan tindakan undang-undang terhadap satu cadangan projek perumahan di Setapak, dengan mendakwa DBKL tiba-tiba memberi lampu hijau bagi pembinaan sebuah kompleks kondominium merangkumi dua blok pangsapuri 48 tingkat.
DBKL beroperasi dalam modus operandi pro-pemaju dan menganggap libat urus dengan penduduk sekadar untuk mencukupkan syarat.
Henti projek pembangunan semula
Tan Booi Charn yang mengetuai Persatuan Tindakan Penduduk Kuala Lumpur untuk Pembangunan Lestari, berkata DBKL perlu menubuhkan jawatankuasa bagi memantau pelaksanaan Pelan Struktur Kuala Lumpur (PSKL) 2040 diwartakan pada Oktober 2023.
Datuk bandar baharu perlu mengambil kira semua input awam dan memberikan penjelasan, jika ia tidak diterima pakai.
PSKL 2040 bertujuan memacu pembangunan bandar dalam tempoh 20 tahun akan datang.
Tan berkata, DBKL perlu menangguhkan projek pembangunan semula di semua 139 lokasi dikenal pasti di bawah pelan itu sehingga penduduk dimaklumkan sepenuhnya mengenai hak mereka sebagai pemilik rumah.
Pemaju menggunakan taktik tidak beretika untuk menekan penduduk memberi kebenaran,
katanya sambil menambah undang-undang menyatakan sebarang projek pembangunan semula perlu mendapat kelulusan 100% pemilik rumah.
Tan turut mengulangi gesaannya supaya DBKL menangani isu pembangunan berlebihan di ibu negara, khasnya kawasan perumahan seperti Kampung Bohol, di mana penduduknya membantah penyahwartaan kolam tebatan banjir untuk pembangunan perumahan dicadangkan.
Menurutnya, pelan struktur itu menyatakan perlu ada keutamaan untuk menyelenggara kolam, tasik dan kawasan hijau di sekitarnya, dengan menjadikan kolam tebatan banjir sebagai kawasan rekreasi terbuka.
Ali berkata, datuk bandar baharu perlu mengutamakan penambahbaikan kesalinghubungan sistem pengangkutan awam Kuala Lumpur dengan menyediakan bas lebih kecil antara kawasan perumahan.
Bas ini boleh beroperasi di luar waktu puncak, tetapi dengan kekerapan tinggi, memberi perkhidmatan kepada semua stesen kereta api dan menyelesaikan isu ketersambungan batuan pertama dan terakhir.
Sumber | FMT Malaysia
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment