KOTA BHARU: PAS menafikan tidak memberikan peruntukan kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim.
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Wan Rohimi Wan Daud, berkata peruntukan yang diberikan oleh kerajaan Kelantan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri adalah sama seperti DUN yang lain.
Katanya, antara peruntukan yang diberikan adalah untuk pembangunan sebanyak RM241,000, program pembelaan rakyat miskin (RM90,000), penyediaan asas pertanian dan perikanan (RM12,000), bantuan bekalan elektrik (RM20,000), Program Rumah Dhuafa (RM212,000), jalan kampung (RM100,000) dan pemberian pelbagai, RM35,000.
"Peruntukan ini ada dan ada yang sudah digunakan serta ada yang tidak digunakan lagi. Demo (awak) buat kerja ke tidak sebenarnya?" katanya ketika berceramah di Program Bual Bicara dan Persembahan Kesenian Dikir Barat di Unit Daerah Mengundi (UDM) Renok di sini, malam tadi.
Beliau yang juga ADUN Melor berkata, peruntukan yang disebut itu diluluskan bagi DUN Nenggiri untuk tahun ini.
Katanya, untuk lulus peruntukan, ia tidak boleh campak duit dalam bakul kerana perlu ada borang permohonan dan melalui penghulu, pejabat DUN serta kena proses di Pejabat Tanah baru peruntukan diberikan.
"Kalau kita duk 'geger' (bising) dan tidak buat apa-apa maka tidak dapat (peruntukan). Dia kena ikut (prosedur).
"ADUN Galas yang duduk di bawah UMNO dan Parlimen Gua Musang serta ADUN Kota Lama ini, mereka dapat peruntukan sama dengan ADUN yang bersama dengan kerajaan negeri Kelantan.
"Bahkan Galas dan Kota Lama mendapat peruntukan lebih besar kerana mereka bukan saja boleh daripada negeri, malah yang Kerajaan Persekutuan juga," katanya.
Beliau berkata, kerajaan negeri tidak pernah menafikan hak ADUN kerana apabila rakyat melantik seseorang wakil rakyat yang diberi mandat melalui sistem pilihan raya, kerajaan Kelantan akan bagi hak.
"Kita akan salurkan dan ini juga dilakukan terhadap ADUN Galas dan Kota Lama. Dua ADUN ini pembangkang dalam Kelantan dan mana ada mereka mengeluh kerana kedua-dua mereka dapat peruntukan yang sama," katanya.
Terdahulu, Mohd Azizi mendakwa beliau dinafikan hak ketika menjadi ADUN di kerusi berkenaan, selain tidak pernah menerima sebarang peruntukan daripada kerajaan negeri.
Beliau yang diisytiharkan hilang keahlian BERSATU pada 13 Jun lalu, turut mencabar pimpinan PAS mengemukakan bukti bahawa beliau menerima peruntukan sehingga menggelarkan dirinya tamak.
No comments
Post a Comment