KUALA LUMPUR – Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai mencabar pemimpin DAP supaya keluar daripada Kerajaan Perpaduan dan berjuang bersama rakyat sekiranya mereka masih berpegang teguh bahawa nadir bumi boleh memudaratkan kesihatan.
Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) itu berkata, berdasarkan pengalamannya bersama dengan pemimpin DAP, beliau percaya mereka hanya pandai bercakap sahaja namun tidak akan berbuat demikian kerana takut kehilangan jawatan.
Katanya, dalam isu menentang nadir bumi sekiranya rakyat ingin menyalahkan atau mengkritik kerajaan, mereka tidak perlu berfikir panjang sebaliknya, hanya perlu mencari fakta tersebut di internet yang boleh menemukan banyak kenyataan dari pemimpin DAP berhubung perkara itu.
“Saya ‘memuji’ Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming atas mempunyai muka yang cukup tebal.
“Walaupun telah berkali-kali dikritik sebelum ini, beliau tetap tidak menunjukkan sebarang tanda malu atau rasa bersalah malah masih mencari alasan untuk menghalalkan dasar dan keputusan yang pernah ditolak beliau sebelum ini.
“Sebelum ini, Nga Kor Ming tegas menyatakan bahawa operasi Lynas akan berhenti di Malaysia. Tetapi sebaliknya, kerajaan “Madanonlah” yang menghalalkan perlombongan nadir bumi,” katanya dalam kenyataan,hari ini.
Menurut Dominic, Kor Ming sebelum ini menentang Lynas dengan menyatakan projek kilang nadir bumi terbesar di dunia ini hanya menawarkan 250 peluang pekerjaan tetapi risiko terhadap kesihatan 700,000 rakyat Kuantan adalah tidak berbaloi.
“Kini apabila kerajaan bercadang untuk melombong nadir bumi di dalam negara, adakah kerajaan perpaduan sudah kehabisan duit sehingga sanggup menggadai kesihatan rakyat?” soalnya.
Tambah beliau, sebelum Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan Persekutuan, mereka sering menyatakan bahawa Lynas adalah ancaman yang membawa bahaya besar.
“Kini, inilah peluang terbaik bagi Pakatan Harapan untuk menunaikan janji mereka,” katanya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment