KUALA LUMPUR – Kemenangan Barisan Nasional (BN) di Pilihan Raya Kecil (PRK) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri tidak boleh dijadikan kayu pengukur bahawa gabungan itu telah sepenuhnya mendapat sokongan orang Melayu, kata Tengku Razaleigh Hamzah.
Sebaliknya, veteran UMNO itu berkata, BN perlu segera membuktikan kesungguhannya dalam memberikan khidmat yang tidak berbelah-bagi kepada rakyat bagi meraih kembali sokongan khususnya masyarakat Melayu.
“Kemenangan di PRK DUN Nenggiri sahaja tidak bermakna UMNO akan mendapatkan kembali sokongan orang Melayu, tetapi ia memberi petunjuk bahawa jika kita memenuhi tuntutan mereka melalui tindakan kita, mereka akan menyokong kita.
“Jika kita membuktikan bahawa kita dengan ikhlas menjalankan kerja dan bukan sekadar bercakap, mungkin ini akan menyebabkan ramai lagi orang Melayu kembali kepada UMNO,” katanya kepada media ketika menghadiri Perhimpunan Agung UMNO (PAU2024) di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), hari ini.
Tengku Razaleigh yang juga Pengarah Pilihan Raya BN bagi PRK DUN Nenggiri berkata demikian semasa menjawab pertanyaan media sama ada kemenangan UMNO di Nenggiri bermakna sokongan Melayu telah kembali kepada parti itu.
Sabtu lalu, calon BN Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani menang pada PRK DUN Nenggiri.
Mohd Azmawi Fikri mendapat 9,091 undi dengan majoriti 3,352 undi menewaskan calon Perikatan Nasional (PN), Mohd Rizwadi Ismail (5,739 undi).
Dalam pada itu, Tengku Razaleigh berkata, beliau melihat situasi di PRK DUN Mahkota amat sangat berbeza dengan Nenggiri.
Oleh itu, UMNO perlu menggunakan acuan kempen yang berbeza jika mahu mengekalkan momentum kemenangan BN.
“Keadaan adalah berbeza kerana hampir 100 peratus pengundi di Nenggiri adalah orang Melayu, dan kita hanya menentang Pas
“Di DUN Mahkota, kerusi itu adalah campuran, dan walaupun orang Melayu adalah majoriti, golongan bukan Melayu juga kuat di sana,” katanya lagi.
PRK DUN Mahkota akan diadakan susulan penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2022, Allahyarhamah Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga calon mewakili BN memenangi kerusi DUN Mahkota dengan majoriti 5,166 undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 September. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment