KUALA LUMPUR: Lelaki warga India beragama Hindu yang hampir menjadi mangsa lubang benam (sinkhole) dalam insiden di Jalan Masjid India pada Jumaat (23 Ogos), kini sudah memeluk agama Islam.
Haridath atau Kandass, 48, mengambil keputusan untuk memeluk agama Islam dengan segera selepas dia meyakini bahawa ada Tuhan yang melindungi dan ingin menyelamatkan dirinya daripada bencana tersebut.
Satu hantaran perkongsian melalui Facebook, Dunia Info Kini berkongsi penulisan asal yang menceritakan tentang seorang lelaki yang terselamat insiden tanah jerlus itu memeluk agama Islam ditemani dua orang rakannya.
Dalam hantaran Facebook berkenaan, Haridath dimaklumkan telah memilih nama Islam, Harizan melafazkan syahadah di Pejabat Agama Islam Wilayah dan terus ke Pejabat Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) di Masjid Negara untuk urusan pengislamannya dalam Bahasa Inggeris.
“Inilah hakikat yang berlaku pada hari Jumaat (23 Ogos) lepas.
“Masya-Allah, kami semua berasa terharu dengan hidayah yang Allah S.W.T campakkan kepada pemuda itu serta merta,” ulas Dunia Info Terkini dalam perkongsian hantaran yang dimuat naik dalam FB berkenaan.
Tambah kenyataan FB tersebut, Harizan yang hidup sendirian terharu dengan pilihannya untuk memeluk agama Islam dan pihak ABIM juga sangat gembira atas syahadah dan hidayah yang Allah berikan kepada lelaki tersebut.
“Menurut seorang ustaz, peristiwa ini membenarkan firman Allah dalam surah Al Mulk, ayat 16 yang bermaksud, ‘Sudah berasa amankah kamu, bahawa Dia yang di langit tidak akan membuat kamu ditelan bumi ketika tiba-tiba ia tergoncang’,” tulis kenyataan FB itu lagi.
Menurut perkongsian FB Dunia Info Terkini, sebaik sahaja terselamat, Haridath terus membuat keputusan untuk memeluk agama Islam secepat mungkin.
“Dia benar-benar yakin dengan adanya Allah S.W.T dan Allah S.W.T telah menyelamatkan dia dari ditelan bumi.
“Maka, dia terus yakin yang Allah sayangkan dia dan dia mesti masuk Islam dan menjadi seorang Muslimin,” kongsi FB tersebut.
Terdahulu, insiden atau tragedi lubang benam di Jalan Masjid India pada Jumaat lepas itu telah menggemparkan negara apabila apabila seorang pelancong wanita dari India, Vijayaletchumy, 48, telah terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter; dan sehingga kini mangsa masih belum ditemui.
Jika diimbas video yang tular melalui rakaman litar tertutup (CCTV), ketika insiden itu berlaku, Harizan sedang duduk dan kakinya sedang berlunjur menyebabkan dia juga turut terjatuh ke dalam mendapan tanah yang kemudian membentuk lubang benam tersebut.
Namun, dia sempat berpaut sebelum menyelamatkan diri daripada turut terjatuh ke dalam lubang benam tersebut, tidak seperti nasib malang yang menimpa Vijayaletchumy.
Sumber | – HARAKAHDAILY
No comments
Post a Comment