NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerusi DUN Mahkota tidak semestinya untuk Wanita UMNO – Tok Mat



KUALA LUMPUR – Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang sebelum ini disandang oleh Wanita UMNO tidak semestinya diserahkan kepada sayap parti tersebut.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamaed Hasan berkata, pemilihan calon untuk pilihan raya dilakukan melalui perbicangan mendalam sebelum keputusan dibuat.

“Ada dibawa oleh Wanita tetapi itu terpulang kepada kita punya perbicangan dan terpulang sama ada individu yang boleh dijadikan calon memenangi pilihan raya. Tidak ada ketentuan lagi.

“Bukan kerana kerusi itu dulunya Wanita kita mesti bagi kepada Wanita. Ini akan dibincangkan dengan lebih mendalam lagi,” kata Mohamad.

Mohamad diminta menggulas tuntutan Wanita UMNO supaya calon mewakili Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota kekal daripada pergerakan itu.

Ketuanya, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, kerusi itu penting bagi Wanita meneruskan legasi penyandang sebelum ini, Allahyarham Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, yang juga EXCO Wanita.

Noraini membuat tuntutan tersebut ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Perhimpunan Agung Wanita UMNO 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini, hari ini.

Mohamad ditemui selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi Khas UMNO sempena Perhimpunan Agong UMNO (PAU) 2024 yang akan berlangsung esok.

Sementara itu Mohamad berkata, Pemuda UMNO turut membawa usul mengenai calon DUN Mahkota dan bersetuju supaya pemilihan calon dibawa oleh Bahagian terbabit dan seterusnya dibincangkan di peringkat Perhubungan.

“Perhubungan akan bersama-sama untuk berbincang dengan kepimpinan tertinggi parti untuk kita menetapkan siapa calon yang terbaik untuk dijadikan wakil parti dalam PRK DUN Mahkota nanti.

“(Senarai calon) Belum dimuktamatkan. Dengar khabar Bahagian telah buat perbincangan dalaman dan mereka akan buat senarai pendek. Sebab kita tidak mahu satu nama.

“Biasa kita minta tiga nama supaya kita dapat buat penilaian. Kita akan buat saringan tertentu terutama keselamatan, SPRM, insolvensi dan macam-macam,” kata Mohamad.

Pemuda UMNO dalam perbahasan hari ini turut mencadangkan Ketua Pemuda UMNO Kluang, Syed Hussein Syed Abdullah dipilih sebagai calon.

Nama Syed Hussein berkumandang di dalam Dewan Tun Hussein Onn di Pusat Dagangan Dunia (WTC) selepas salah seorang daripada perwakilan di dalam dewan menyebut nama beliau.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sebelum ini menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 September ini. Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Sharifah Azizah pada 2 Ogos lalu.

Sharifah Azizah yang juga EXCO Wanita menang dengan majoriti lebih 5,000 pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.- MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo