NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kelantan luluskan 2,858 hak milik tanah peneroka Kesedar



GUA MUSANG - Kerajaan negeri sehingga kini sudah melulus dan mendaftarkan sebanyak 2,858 hak milik tanah kepada peneroka di bawah seliaan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar).

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan berkata, jumlah berkenaan tidak termasuk 49 hektar lot tanah di Taman Agropolitan Rantau Manis.

Tegas beliau, menjadi tanggungjawab Kesedar untuk membuat penyerahan kepada peneroka di bawah kelolaan mereka.

"Bilangan kelulusan untuk tanah rancangan ini membabitkan Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Kesedar Sungai Asap sebanyak 334, RKT Renok Baru (524) dan RKT Jeram Tekoh (290) dan Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Limau Kasturi (173) kelulusan dan pendaftaran hak milik.

"Menjadi tanggungjawab Kesedar pula untuk memberi hak milik tanah ini kepada peneroka-peneroka mereka namun kami dapati (perkara) itu tidak berlaku," dakwanya ketika sidang akhbar di Pusat Informasi Perikatan Nasional bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Nenggiri di sini pada Isnin.

Kontroversi membabitkan tanah Kesedar tercetus apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pada 3 Ogos lalu mendakwa agensi itu tidak memproses ribuan lot tanah diluluskan kerajaan negeri untuk diberikan kepada peneroka.

Susulan itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, Kesedar akan menyerahkan hak milik tanah seluas 7,000 hektar kepada peneroka dalam tempoh terdekat.

Justeru, Mohamed Fadzli berkata, sebagai usaha menyelesaikan masalah pemilikan tanah itu, kerajaan negeri sedia untuk mempertimbangkan cadangan Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa supaya tanah diberikan terus kepada peneroka tanpa melalui Kesedar.

Katanya, kerajaan negeri juga akan memikirkan berhubung penubuhan satu jawatankuasa khusus bagi melihat kembali dan menyelesaikan isu pemberian tanah kepada peneroka Kesedar tersebut.

"Kalau perlu kita buat sesuatu yang boleh mempercepatkan proses pemilikan (tanah) kepada rakyat, kita akan pertimbangkan dan lakukannya," jelas beliau.



Sumber | Sinar Harian 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo