KUALA LUMPUR – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan helikopter yang digunakan pemimpin parti itu ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bukan milik kerajaan.
Malah tegas Presiden UMNO berkenaan, kos bagi helikopter itu juga tidak menggunakan dana kerajaan.
Dalam masa sama, Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, tiada halangan sekiranya pemimpin Perikatan Nasional (PN) mahu menggunakan helikopter untuk berkempen pada PRK tersebut.
“Itu bukan helikopter kerajaan, itu bukan dibayar oleh kementerian…kalau dia (Annuar Musa) nak pakai pun saya tiada halangan.
“Kalau LV (Louis Vuitton) boleh pakai, helikopter pun boleh pakai,” selorohnya ketika ditemui pemberita selepas Program Temu Mata Bersama Masyarakat di Kampung Limau Kasturi, Gua Musang, Kelantan hari ini.
Terdahulu, melaporkan kenyataan Pengarah Operasi PN PRK Nenggiri, Tan Sri Annuar Musa yang mempersoalkan penggunaan helikopter oleh pemimpin UMNO untuk berkempen pada PRK tersebut.
Menurut Annuar, berdasarkan semakan, kos sewa penggunaan helikopter yang mempunyai lebih lima kerusi itu boleh mencecah sehingga RM350,000 sekali gus melanggar had kos untuk berkempen pada pilihan raya.
Annuar yang juga bekas Ahli Parlimen UMNO Ketereh sebelum ini turut mendapat perhatian banyak pihak selepas beberapa keping gambarnya yang memakai jaket jenama mewah, Louis Vuitton (LV) ketika menyampaikan sumbangan kepada pengundi Orang Asli semasa kempen PRK tersebut tular di media sosial.
Dalam perkembangan berkaitan, menerusi catatan di laman Facebook beliau selepas program Temu Mata Bersama Masyarakat Jeram Tekoh, Nenggiri hari ini, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan Perpaduan komited dalam menyantuni permasalahan dan memberikan khidmat yang terbaik untuk masyarakat Nenggiri.
Sehubungan itu, beliau menyeru penduduk Nenggiri memilih pemimpin yang boleh membawa kepada kesinambungan pembangunan dan kesejahteraan khususnya penduduk di Jeram Tekoh ini.
“Lihatlah kewibawaan Awie (calon BN, Mohd. Azmawi Fikri Abdul Ghani). Berilah kepercayaan kepada calon nombor dua Barisan Nasional Azmawi Fikri. Anak muda yang ikhlas, bersemangat dan telah lama berbakti di kawasan ini.
“Beliaulah yang saya yakini akan memperjuangkan nasib rakyat Nenggiri,” katanya.
Tambah Ahmad Zahid, tarikh 17 Ogos ini juga bukan sekadar memangkah undi atau hanya memilih seorang wakil rakyat, tetapi adalah peluang untuk memilih masa hadapan yang lebih baik untuk masyarakat di DUN Nenggiri. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment