KULAI – UMNO akan memastikan calon yang bakal diumumkan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota yang memiliki ciri ‘wali’ iaitu mampu memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat dan negara.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ‘wali’ itu merujuk kepada boleh memenangi (winnable), diterima (acceptable) dan disukai (likeable) yang berkaliber dan berdaya.
Namun beliau berkata, masih terlalu awal untuk mengumumkan perkara tersebut apatah lagi semua pihak dalam keadaan terkejut dan berdukacita.
“Untuk DUN Mahkota ni masih terlalu awal, kita masih lagi dalam keadaan yang terkejut berdukacita. Presiden tadi pun minta kita ambik tempoh bertenang seketika dan kita tunggulah bila diisytiharkan kerusi tu kosong. Bukan isu kuota atau apa-apa pun ia kerusi UMNO.
“Apa pun, terserah kepada pucuk pimpinan. Tak ada isu kuota apa-apa kerana yang penting calon tu boleh menang, diterima, disukai tapi sekarang ni kita masih dukacita dengan kehilangan wirawati, tokoh wanita Johor yang kita segani. Banyak jasanya bukan sahaja di DUN Mahkota, tetapi juga di DUN Penawar sebelum ini.
“Bagaimanapun, saya tidak ada kedudukan menyatakan ada pilihan raya kecil (PRK) atau tidak, itu kena tanya Speaker. Kita ambil tempoh bertenang dan kalau diisytiharkan kosong (kerusi), ada PRK, kita akan umumkan (calon),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Kulai di Dewan Raya Putra, Bandar Putra di sini malam tadi.
Hari ini, Speaker DUN Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi menyerahkan notis kekosongan kerusi DUN Mahkota kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berikutan kematian penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain.
Sharifah Azizah, 63, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang, pukul 12.32 tengah hari kelmarin.
Anak kelahiran Kluang itu yang lahir pada 8 Disember 1960 merupakan Ketua Wanita UMNO Kluang sejak 1993 hingga kini dan pernah menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO Johor (2015-2018).
Beliau menang kerusi DUN Mahkota pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada 2022.
Sebelum itu, Sharifah Azizah adalah ADUN Penawar, mulai 2018 hingga 2022 lalu. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment