NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bersatu teliti secara halus isu libatkan Muhyiddin – Hamzah



KUALA LUMPUR – Pucuk pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang meneliti secara halus isu melibatkan ucapan Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri pada malam 14 Ogos lalu.

Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, parti itu memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada Muhyiddin selaku Presiden Bersatu dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) bahawa beliau akan menghormati lunas perundangan dengan hadir memberikan keterangan kepada pihak berkuasa esok.


“Semua pihak juga diseru supaya bertenang dan berdoa kepada Allah SWT agar perkara ini dapat diselesaikan dengan baik, adil dan saksama berasaskan lunas undang-undang negara,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Muhyiddin dijangka memberikan keterangan kepada polis esok, susulan kira-kira 30 laporan ke atasnya yang dibuat pelbagai pihak berkait ucapan beliau ketika berkempen pada PRK Nenggiri yang didakwa menyentuh isu 3R (agama, raja dan kaum).

Menerusi rakaman video yang tular di media sosial, Muhyiddin didakwa menyebut Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah tidak menjemput beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan mendakwa mendapat sokongan 115 Ahli Parlimen ketika itu.


Ekoran itu, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menzahirkan kemurkaan dan rasa amat terkilan atas tindakan Muhyiddin yang secara sengaja dan sinis memperlekeh dan mempertikaikan tugas serta peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong Ke-16.


Menerusi kenyataan dikeluarkan Istana Abdulaziz, Tengku Hassanal mahu Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Pengerusi PN itu yang secara sengaja menyentuh sentimen 3R.

Baginda menyifatkan kenyataan Muhyiddin selaku bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sebagai memanipulasi fakta dan membawa naratif negatif kepada rakyat bahawa Al-Sultan Abdullah seolah-olah tidak berlaku adil ketika memilih Perdana Menteri ke-10. – MalaysiaGazette









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo