NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

31 Ogos: Hari Kemerdekaan Atau Hari Kebangsaan?



Tanggal 31 Ogos merupakan tarikh keramat yang dirayakan dengan penuh meriah oleh rakyat Malaysia kerana tarikh tersebut menandakan merdekanya Tanah Melayu daripada cengkaman penjajahan British selama 171 tahun.

Namun demikian, perdebatan mengenai tarikh 31 Ogos juga muncul kerana terdapat dua kumpulan yang masing-masing memperdebatkan tarikh tersebut adalah Hari Kemerdekaan ataupun Hari Kebangsaan

Mereka berpendapat menamakan peristiwa 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan seakan meminggirkan Sabah dan Sarawak kerana kedua buah negeri tersebut masih berada di bawah jajahan British sewaktu 31 Ogos 1957. Sabah yang dahulunya dikenali sebagai Borneo Utara hanya bebas daripada cengkaman penjajah British pada 31 Ogos 1963 manakala Sarawak pula pada 22 Julai 1963.

Sisi pendapat kumpulan yang lain pula tetap mempertahankan 31 Ogos sebagai Hari Kemerdekaan bukannya Hari Kebangsaan kerana ia adalah sejarah yang tidak boleh diubah sama sekali.

Perbincangan mengenai topik ini menjadi begitu panjang kerana masing-masing ingin mempertahankan idea mereka dan ada kalanya ia mencetuskan pergaduhan di media sosial.

31 Ogos 1957 Hanya Hari Kemerdekaan Tanah Melayu

Benar, tarikh 31 Ogos 1957 hanya memerdekakan Tanah Melayu sahaja bukannya Malaysia secara keseluruhannya daripada British.

Negara yang bernama Malaysia tidak wujud pada 31 Ogos 1957 kerana ia mula terbentuk melalui gabungan daripada wilayah yang bernama Borneo Utara ataupun Sabah, Singapura dan Sarawak pada 16 September 1963. Kemudian Singapura telah dikeluarkan daripada gabungan Malaysia pada 9 Ogos 1965.

Maka tidak hairan terdapat sebahagian orang Sabah dan Sarawak menyebut Hari Kemerdekaan ini hanya untuk Semenanjung sahaja kerana 31 Ogos itu tidak membawa erti apa-apa pun kepada mereka.

Satu lagi naratif yang diperdebatkan oleh ramai orang mengenai penggabungan Malaysia ialah tentang penggunaan naratif Sabah dan Sarawak “masuk” Malaysia.

Penggunaan perkataan “masuk” itu tidak tepat kerana sebelum Malaysia terbentuk Sabah dan Sarawak terdiri daripada “self government” yang diberikan oleh British untuk memerintah secara sendiri.

Sabah dan Sarawak ibarat “rakan kongis” kepada Tanah Melayu untuk membentuk Malaysia maka kita boleh ibaratkan Sabah dan Sarawak bertaraf wilayah ataupun negara.

Maka sebab itu pihak Sabah dan Sarawak amat lantang dalam memperjuangkan Perjanjian Malaysua 1963 ataupun MA63 kerana berpendapat mereka adalah rakan kongsi yang sama rata seperti Semenanjung Tanah Melayu.

Pengisytiharan 31 Ogos Sebagai Hari Kebangsaan Untuk Meraikan Semangat Kerukunan Bersama

Pengisytiharan 31 Ogos sebagai Hari Kebangsaan bukannya Hari Kemerdekaan telah dilakukan oleh kerajaan Barisan Nasional di bawah pemerintahan Datuk Seri Najib Razak yang sedar akan permasalahan ini.

Kerajaan waktu itu tidak mahu melihat perbezaan ini mencetuskan suasana yang kurang harmoni antara kedua belah pihak maka ia dinamakan sebagai Hari Kebangsaan.

Walaubagaimanapun, rakyat di Semenanjung tetap merasakan ia sebagai Hari Kemerdekaan hingga melaungkan laungan “Merdeka”.

Begitulah rumitnya isu ini. Fakta dan sejarah tetap tidak boleh berubah namun kadang kala ia boleh membawa perasaan yang pahit kepada pihak yang lain.

Untuk mengatakan Malaysia merdeka pada 31 Ogos adalah tidak tepat kerana Malaysia tidak merdeka daripada sesiapa pun. Malaysia hanya dibentuk oleh pemegang taruh iaitu Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak bukannya merdeka.

Mungkin tanggal atau tarikh yang dilihat boleh disepekati oleh semua rakyat Malaysia ialah 16 September iaitu Hari Malaysia di mana semua orang akan meraikannya dengan penuh bangga.

16 September menandakan terbentuknya negara bertuah Malaysia dan tiada satu pihak yang ketinggalan pun dalam meraikannya kerana daripada Perli hingga ke Sarawak semuanya memainkan peranan penting dalam pembentukan Malaysia.

Harapannya di sini ialah apa pun isu mengenai Hari Kemerdekaan atau Hari Kebangsaan mana yang lebih sesuai, diharapkan rakyat Malaysia tetap bersatu hati untuk mempertahankan negara ini daripada anasir yang boleh memecah belahkan perpaduan.


Sumber | gelombangberjasa.com







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo