NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Turunkan had usia saringan HIV kepada 16 tahun



  • Majlis AIDS Malaysia (MAC) menyarankan supaya had usia saringan ujian HIV dari 18 tahun diturunkan kepada 16 tahun susulan peningkatan kes berkenaan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi.
  • Naib Presidennya, Dr Dinesh Mahalingam berkata langkah itu wajar kerana ia memberi ruang kepada pengesanan dan rawatan awal serta menangani realiti generasi muda yang semakin terkesan dengan epidemik HIV.
  • “Malaysia sedang menyaksikan peningkatan ketara penularan HIV secara seksual, yang kebanyakannya memberi kesan kepada golongan muda,” katanya dalam satu kenyataan bersama Yayasan AIDS Malaysia (MAF) hari ini.

KUALA LUMPUR — Majlis AIDS Malaysia (MAC) menyarankan supaya had usia saringan ujian HIV dari 18 tahun diturunkan kepada 16 tahun susulan peningkatan kes berkenaan dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi.

Naib Presidennya, Dr Dinesh Mahalingam berkata langkah itu wajar kerana ia memberi ruang kepada pengesanan dan rawatan awal serta menangani realiti generasi muda yang semakin terkesan dengan epidemik HIV.

Dr Dinesh berkata langkah itu juga dapat mendidik generasi muda mengenai aspek kesihatan seksual selari dengan trend global yang menggalakkan umur ujian lebih rendah.

“Adalah penting untuk diakui bahawa peningkatan kes HIV bukan hanya terhad kepada pelajar universiti dan kolej sahaja. 

“Malaysia sedang menyaksikan peningkatan ketara penularan HIV secara seksual, yang kebanyakannya memberi kesan kepada golongan muda. 

“Ini menekankan keperluan untuk intervensi yang menyeluruh dan tersasar,” katanya dalam satu kenyataan bersama Yayasan AIDS Malaysia (MAF) hari ini.

Terdahulu, jangkitan HIV dalam kalangan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta di Malaysia berumur antara 18 hingga 25 tahun dilaporkan semakin meningkat.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata berdasarkan notifikasi jangkitan kes dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, bilangan pelajar dijangkiti HIV pada 2023 adalah 244 kes, berbanding 2022 iaitu 221 kes.

Susulan itu, terdapat gesaan daripada Presiden Interim Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM), Nazirah Abdullah supaya universiti mewajibkan ujian HIV kepada pelajar baharu sebagaimana prosedur pemeriksaan kesihatan dilakukan sebelum memasuki kampus atau mendaftarkan diri pada tahun pertama.

Gesaan itu turut mendapat sokongan Pakar Perubatan Keluarga, Dr Sakinah Sulong yang secara peribadi berpandangan pelaksanaan cadangan itu membolehkan pesakit HIV dikenal pasti lebih awal dan rawatan dapat diberikan dengan cepat, apatah lagi ketika ini ada pesakit enggan mendapatkan rawatan.

Menurut kenyataan bersama antara MAF dan MAC, pihak mereka dari aspek pendidikan akan menyokong pelaksanaan Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja atau PROSTAR yang baru diperbaharui di kampus-kampus institusi pendidikan tempatan. 

Program itu merupakan inisiatif dibangunkan Sektor HIV/STI, Bahagian Kawalan Penyakit di Kementerian Kesihatan yang bertujuan menyampaikan kesedaran HIV/AIDS kepada kelompok muda.

“Berpandukan pada modul dibangunkan pakar-pakar bertauliah,  PROSTAR 2.0 akan digerakkan pembimbing rakan sebaya atau PRS yang diberi autonomi untuk menggerakkan program ini. 

“Pendekatan ini mencerminkan slogan PROSTAR, iaitu “Oleh Remaja, Melalui Remaja, Untuk Remaja”.

“Kami mempunyai rancangan besar untuk melancarkan program berasaskan kampus di seluruh negara pada separuh kedua tahun ini, dengan menggunakan PROSTAR 2.0 sebagai asas penglibatan kami dengan pelajar. 

“Situasi terkini tentang peningkatan kes HIV di kampus tempatan merupakan bendera merah yang menonjolkan keperluan kritikal untuk mendidik golongan muda mengenai pencegahan HIV dan mengurangkan stigma berkaitan,” kata Pengarah Eksekutif MAF dan MAC, Jasmin Jalil. — The Merdeka Times



........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo