KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Isham Jalil menafikan pelbagai tuduhan bersifat fitnah yang dibuat oleh Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri, Datuk Megat Zulkarnain Omardin terhadap beliau menerusi live TikTok baru-baru ini.
Antara dakwaan tersebut kononnya Isham telah meminta jawatan Pengerusi RISDA atau Pengerusi Felcra kepada Presiden UMNO selepas UMNO menjadi kerajaan dan akibat tidak dapat jawatan ini mendorong Isham menyerang kerajaan.
Dakwaan lain yang dibuat oleh Megat ialah kononnya dia membantu Isham dari segi kewangan kerana Isham ada “tanggungan-tanggungan yang memerlukan bantuan kewangan”.
Isham juga dituduh memilih dan merayu kepada Presiden UMNO untuk bertanding di Shah Alam pada PRU-15 dan bersetuju untuk bekerjasama dengan DAP dalam pilihan raya semasa masih berada dalam Majlis Tertinggi UMNO.
Selain itu, Isham mendakwa, Megat juga telah mengeluarkan kenyataan-kenyataan lain yang berbaur fitnah dan bertujuan untuk memburuk-burukkannya secara peribadi.
“Saya lihat mereka (pemimpin-pemimpin UMDAP) ini sudah takut dan koyak dengan hujah-hujah saya dan mereka tidak boleh jawab dan oleh itu kini mereka giat melontar pelbagai tohmahan peribadi terhadap saya,” katanya.
Menjawab tuduhan yang dilemparkan terhadapnya, Isham berkata: “Kepada Setiausaha Politik Zahid iaitu Megat Zulkarnain, saya ingin komen ringkas saja dan saya pasti kamu tahu yang apa yang kamu kata itu adalah fitnah”.
Ia kerana, kata Isham, beliau tidak pernah melobi atau meminta jawatan-jawatan di atas seperti yang didakwa oleh Megat.
“Dan jika saya mahu jawatan-jawatan ini saya boleh sahaja membodek dan menjilat seperti kamu tetapi saya tidak buat begitu kerana saya tidak mahu menggadai maruah dan mengkhianati perjuangan asal UMNO dan bersekongkol dengan DAP seperti kamu,” ujar beliau dalam satu kenyataan.
Menurut Isham lagi, beliau tidak pernah menerima satu sen pun, apa-apa bantuan kewangan daripada Megat, justeru beliau menyifatkan kenyataan Megat adalah satu penipuan dan fitnah yang nyata.
Mengenai tuduhan bertanding di Shah Alam, Isham menegaskan, individu yang mencadangkan kepada Presiden UMNO supaya beliau bertanding di Shah Alam adalah Ketua UMNO Bahagian Shah Alam.
Jelasnya, meskipun tahu Parlimen tersebut adalah kawasan terhitam kepada UMNO tetapi beliau yakin Presiden UMNO dan UMNO Bahagian Shah Alam ikhlas.
“Presiden UMNO tahu sukar untuk sesiapa menang di situ, namun saya telah dihantar jua ke sana untuk dikorbankan (baca artikel-artikel penganalisis-penganalisis politik dalam akhbar sebelum PRU-15). Saya telah dicadangkan oleh beberapa pemimpin akar umbi UMNO untuk bertanding di satu kawasan lain yang mempunyai peluang untuk menang berbanding Shah Alam, tetapi bos kamu iaitu Zahid tidak setuju dan telah menghantar saya ke Shah Alam.
“Sebelum kamu fitnah dan tohmah saya, sekurang-kurangnya buatlah homework dahulu,” ujar beliau.’
Isham turut menegaskan beliau tidak pernah bersetuju untuk bekerjasama dengan DAP dalam pilihan raya kecuali bersetuju untuk Barisan Nasional (BN) membentuk Kerajaan Perpaduan mengikut titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan (SPB YDP) Agong setelah tiada kerajaan dapat dibentuk selepas PRU-15.
“Saya pernah buat kenyataan bahawa SPB YDP Agong hanya bertitah untuk UMNO dan parti-parti membentuk kerajaan, tetapi bukan untuk UMNO pergi pilihan raya bersama PH/DAP yang akan mengakibatkan UMNO hilang akar umbi.
“Saya pernah utarakan perkara ini kepada Majlis Tertinggi UMNO tetapi Zahid dan kamu tidak setuju dan terus bawa UMNO bersama PH/DAP yang telah menyebabkan kekalahan teruk UMNO di PRN enam negeri termasuk di kawasan kamu sendiri pada tahun lepas.
“Walaupun kamu banyak pegang jawatan-jawatan politik dalam UMNO, kamu telah kalah berkali-kali dalam pilihan raya di kawasan sendiri. Apa guna kamu pegang jawatan itu ini tetapi tetap ditolak pengundi setiap kali. Nampaknya kamu, Zahid dan UMDAP tidak serik-serik lagi. UMNO akan hancur di tangan Zahid dan pembodek-pembodeknya seperti kamu,” kata Isham lagi.
Isham mendakwa, memandangkan sebahagian daripada kenyataan-kenyataan kamu dalam live TikTok tersebut terhadapnya adalah kenyataan politik serta sebahagian lagi adalah berbaur fitnah maka Megat boleh diambil tindakan undang-undang.
Kata Isham, peguam beliau akan meneliti setiap kenyataan-kenyataan kamu tersebut dan akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya kelak.
“Sebagai seorang Setiausaha Politik Timbalan Perdana Menteri dan anggota pentadbiran yang dibayar gaji oleh rakyat, kamu tidak boleh menipu dan memfitnah rakyat. Jika kamu memfitnah orang, bersedialah untuk disaman.
“Politik fitnah ini adalah politik usang dan politik lama. Politik jenis ini tidak membantu rakyat. Kita perlu berubah dan beralih dari politik jenis ini ke arah politik yang lebih baik,” ujarnya. – MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment