KUALA TERENGGANU: Terengganu FC (TFC) membawa bekalan tipis selepas menang 3-2 menundukkan Selangor FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, sebentar tadi.
Pada perlawanan itu, skuad The Red Giants bermula garang dengan percubaan pertama pada minit ke-12 menerusi Alvin Fortes hasil hantaran Noor Al Rawabdeh yang berjaya diselamatkan pertahanan, Muhammad Alif Zakaria ketika penjaga gol, Syed Muhammad Nasrulhaq Syed Bidin sudah tertewas.
Skuad kendalian Tomislav Steinbruckner yang sebelum itu dilihat sukar untuk menembusi pertahanan pelawat akhirnya berjaya mencipta gol menerusi sepakan percuma kapten, Safawi Rasid pada minit ke-30 yang hanya disaksikan sahaja penjaga gol, Samuel Somerville.
Lima minit berselang, 'arkitek' kelahiran Uzbekistan, Nurillo Tukhtasinov menceriakan hampir 32,000 peminat setia yang hadir apabila bola rembatan leret dari luar kotak penalti pada minit ke-35 menerjah jaring.
Tersentak dua gol itu, skuad kendalian Mohd Nidzam Jamil memperkemaskan asakan dan hanya menunggu tiga minit untuk merapatkan kedudukan 1-2 pada minit ke-38 menerusi tolakan pemain kelahiran Belanda, Fortes yang menyambung hantaran silang Mukhairi Ajmal Mahadi.
Bersambung babak kedua, pelawat tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan 2-2 apabila bola hantaran silang Fortes singgah di kaki Al Rawabdeh yang melakukan rembatan padu pada minit ke-47.
TFC yang tidak mahu mengalah kembali mendahului 3-2 apabila penyerang, Ismaheel Akinade bijak menghidu peluang apabila menanduk masuk bola hantaran Tukhtasinov pada minit ke-69.
Kedudukan 3-2 itu kekal hingga tamat perlawanan sebelum aksi timbal balik di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 3 Ogos ini untuk penentuan pasukan yang bakal beraksi di pentas final.
sumber ! Bharian
No comments
Post a Comment