NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu tuntut hak tanah dari FELDA: Isu tertunggak hampir 40 tahun




KUALA TERENGGANU
: Kerajaan negeri Terengganu kini mengambil pendekatan lebih tegas untuk menuntut hak ke atas tanah seluas 13,686 hektar yang diusahakan oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) selama hampir empat dekad.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, memaklumkan bahawa tuntutan negeri terhadap hasil keuntungan selama 39 tahun itu sering dipandang ringan, dan perbincangan yang diadakan sebelum ini tidak disambut baik. 

Menurutnya, dengan pendekatan yang lebih tegas, FELDA akhirnya datang ke meja rundingan pada 21 Mac dan 11 Jun 2024. 

“Bayaran daripada FELDA diterima pada tahun 2010 sebanyak RM55 juta, tetapi ia lebih kepada bayaran sebelah pihak tanpa ada apa-apa penyelesaian. 

“Pihak FELDA berbincang dengan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan membuat pembayaran walaupun kita tidak pernah bersetuju dengan kadar yang dibayar itu.

“Bayaran itu dimasukkan ke dalam tabung amanah, jadi duit itu ada tetapi kita belum terima sehingga ada penyelesaian muktamad tentang kadar dan angka-angka yang kita boleh persetujui bersama,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, di sini.

Mengulas lanjut kata beliau, kerajaan negeri berpegang pada perbincangan awal yang menetapkan 30 peratus daripada keuntungan kasar (gross profit), manakala FELDA menawarkan 50 peratus pendapatan bersih (net profit), yang ditolak oleh kerajaan negeri.

“Sebagai contohnya, beberapa tahun kebelakangan ini FELDA kata mereka rugi, jadi saja (sia-sia) lah negeri kerana kita tidak akan dapat apa-apa.

“Sebab itu, kita tekankan kepada ‘gross profit’ kerana tidak adil bagi kita yang kena tanggung segala kos, urusan operasi, akhirnya mereka isytiharkan kerugian dan negeri tidak mendapat apa-apa.

“FELDA kemudian mencadangkan 15 peratus keuntungan kasar, jadi kita ambil angka itu dulu tapi belum dipersetujui dan kita akan runding lagi mungkin kita akan naikkan 20 peratus atau 25 peratus,” ujar Azman.

Tambah beliau, perkara itu kini sedang diteliti oleh jawatankuasa kerja  untuk memperincikan beberapa perkara teknikal, termasuk keluasan sebenar tanah kerana sebahagian telah diambil untuk projek Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dan Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

“Kerajaan negeri tidaklah tegar sehingga tiada perbincangan langsung, kita ada ruang-ruang perbincangan dan di peringkat ‘working committee’ akan memperincikan perkara ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 30/7/2024






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo