Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. - FOTO BERNAMA
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil. - FOTO BERNAMA

CYBERJAYA: Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, mengarahkan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din, untuk mengambil tindakan segera berhubung isu lambakan berita palsu, penipuan dan buli siber dalam media sosial di negara ini.

Beliau yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata, masalah berkait media sosial kian membelenggu rakyat sehingga ada yang mengambil tindakan membunuh diri.

"Saban hari, masalah media sosial semakin membelenggu rakyat, sama ada sebaran berita palsu mahupun menjadi mangsa 'scam'. Terkini, terdapat mangsa buli siber sehingga ada yang bunuh diri.

"Tan Sri (Pengerusi MCMC), di hadapan semua termasuk Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dan Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali), saya arahkan awak untuk buat sesuatu (berhubung isu itu)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2024 yang disempurnakan oleh Anwar, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fahmi berkata, antara langkah kerajaan membendung masalah berkenaan ialah mengambil tindakan terhadap pemilik platform media sosial.

"Selepas ini, semua platform terbabit harus bertanggungjawab dan insya-Allah, kita akan mengambil satu tindakan yang sangat tegas dalam masa beberapa hari ini.

"Nantikan dan kita lakukan ini demi keselamatan semua, terutama anak dan keluarga.

"Percayalah, hasrat kerajaan bukan saja menjamin harga Internet lebih murah, mudah diperoleh mahupun lebih pantas tetapi juga lebih selamat untuk kita manfaatkan," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Menteri Digital, Gobind Singh Deo, mencadangkan undang-undang baharu dipertimbang bagi meletakkan tanggungjawab kepada pemilik platform media sosial atas penyalahgunaannya, termasuk kes membabitkan buli siber.

Gobind dipetik berkata, ia bagi memastikan tiada penyalahgunaan berlaku dan sekiranya ada, tindakan segera boleh diambil untuk menghalang keadaan sedemikian daripada berterusan.

Sumber | BHarian