NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Selangor kerap berlaku gangguan air, menyusahkan penduduk

Petugas Air Selangor, Rasydan Razali,34, membantu mengisi air untuk penduduk kawasan-kawasan yang terlibat dengan gangguan bekalan air yang dihadapi ekoran henti tugas Loji Rawatan Air di Seksyen 27 Shah Alam. Foto AIZAT ZAINAL, 28 JULAI 2024.


SHAH ALAM – Ketiadaan notis awal menyebabkan kebanyakan penduduk di sekitar Shah Alam tidak sempat menyimpan bekalan air sekali gus menyukarkan kehidupan seharian mereka akibat gangguan bekalan air.

Penduduk mengeluh kerana rutin harian terjejas berikutan kebocoran tangki sebuah kilang plastik di daerah Kuang yang menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihentikan tugas sementara.

Tinjauan MalaysiaGazette sekitar Seksyen 27 dan Seksyen 28 mendapati, kebanyakan rumah penduduk dan premis perniagaan tiada bekalan air dan ada terpaksa mengangkut tong air dari tempat yang jauh.

Seorang penduduk di Seksyen 28, Abdul Razak Hassan, 63,  berkata, dia terkejut apabila bekalan air di kawasannya itu telah terputus secara tiba-tiba sejak tengah hari semalam.

“Kejadian ini bukanlah perkara yang baharu, kami faham tiada siapa mahu terjadinya situasi sebegini tetapi sebaiknya kami dimaklumkan terdahulu untuk membuat persiapan awal,” katanya.

Mengakui gangguan air merupakan detik yang paling menyusahkan penduduk, Abdul Razak mahu kerajaan mengenakan tindakan undang-undang yang tegas kepada individu atau syarikat  yang menyebabkan pencemaran air.

“Perbuatan mencemarkan sungai  menimbulkan kesusahan bukan sahaja kepada penduduk tetapi kepada pihak berkepentingan kerana perlu melakukan pembersihan semula,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Borhan Abdullah, 55,  yang tinggal di flat lima tingkat juga mengeluh kerana terpaksa mengerah tenaga  mengangkat bekalan air dari bawah ke tingkat atas.

Bapa kepada enam orang anak itu terpaksa berulang-alik dua kali sejak pagi tadi bagi mencukupkan bekalan air untuk keluarganya.

“Saya mula mencari air sejak 3 pagi tadi sebab di sini bekalan air telah terputus, saya terpaksa pergi ke pam minyak di kawasan Putra Heights untuk menadah air.

“Sebab itu, saya datang ke Pusat Khidmat Setempat (PKS) Air Selangor untuk mengambil bekalan. 

“Kami ramai anak-anak kecil, rumah pula tingkat atas memang sukarlah keadaan, tambah pula dengan faktor umur yang meningkat,” jelasnya.

Sementara itu, seorang suri rumah, Nur Hafiza Mohd Nasir, 53, berkata, keluarganya kini hanya mengharapkan air tangki rumah kerana mempunyai anak-anak dan cucu kecil di rumah.

“Bagaimanapun, bekalan air tangki rumah mungkin boleh bertahan maksimum selama tiga hari dan jika mempunyai bilangan ahli keluarga di rumah, boleh jadi lebih pendek daripada jangkaan itu.

“Sebelum ini, saya pernah duduk di Seremban dan tiada masalah bekalan air yang saya hadapi sepanjang di sana, tetapi di Selangor kerap tiada air.

“Saya juga berharap kerajaan dapat atasi masalah ini dengan segera kerana menyukarkan kehidupan seharian rakyat,” ujarnya.

Terdahulu, Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memaklumkan gangguan bekalan air membabitkan jutaan pengguna di tujuh daerah di Selangor dan Kuala Lumpur kini pulih 14.3 peratus setakat  9 pagi tadi.

Air Selangor memaklumkan, gangguan bekalan air dijangka selesai sepenuhnya selewat-lewatnya Jumaat ini.

Sebanyak 17 PKS turut disediakan untuk kemudahan pengguna di lokasi yang tersenarai. – MalaysiaGazette























........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo