Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (kiri) dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli (kiri) dan Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

NIBONG TEBAL: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, seharusnya tahu dan dapat membezakan tanggungjawab Kerajaan Persekutuan dalam soal membabitkan isu air kepada penduduk Sungai Bakap, kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Tuan Ibrahim yang juga bekas Menteri Air dan Alam Sekitar, berkata Kerajaan Persekutuan dengan Akta Perkhidmatan Industri Air (WASIA) 2006 (Akta 655) menerusi Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) hanya memiliki aset-aset air, manakala negeri bertanggungjawab menguruskan sumber air.

"Selain itu, kerajaan negeri melalui pengkorporatan syarikat air negeri akan terus menjalankan perkhidmatan air kepada rakyat.

"Maka isu pengagihan dan bekalan air kepada rakyat di Sungai Bakap adalah di bawah tanggungjawab negeri," katanya menerusi satu hantaran di laman Facebook hari ini.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu dipercayai merujuk dakwaan Rafizi yang mempertikai sumbangan Timbalan Presiden PAS itu kepada penyelesaian isu air di kawasan Sungai Bakap ketika berada dalam kerajaan.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan, jika Rafizi mahu membangkitkan soal bekalan air di Kelantan, perkara itu disebabkan Kelantan tidak mempunyai tempat takungan air atau empangan sejak sekian lama.

Katanya, selepas puluhan tahun keadaan itu berlaku, Kementerian Air dan Alam Sekitar (KASA) ketika pentadbiran Perikatan Nasional (PN) telah meluluskan projek Takungan Air Pinggiran Sungai (TAPS) di Machang bernilai RM1.3 bilion.

Beliau turut meluahkan rasa syukur apabila dimaklumkan bahawa projek itu akan diteruskan meskipun selepas peralihan Kerajaan Pusat daripada PN pada akhir 2022.

Berhubung isu air di Sungai Bakap, Tuan Ibrahim melihat apa yang diutarakan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sebelum ini adalah lebih kepada ingin membantu kerajaan Pulau Pinang.

"Tidakkah dengan menerima pelawaan kerajaan negeri Kedah yang bersedia menjual bekalan air bersih dari Loji Rawatan Air (LRA) Lubuk Buntar bakal menyelesaikan isu air yang berlaku khususnya di Sungai Bakap dengan segera dan lebih praktikal?

"Atau selepas 'rahsia' isu air di Sungai Bakap ini bocor, Yang Berhormat Rafizi dan Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sudah terasa bahangnya akibat selalu menjadikan isu air ini sebagai modal politik?" soalnya.

Beliau dalam pada itu menasihati Rafizi supaya belajar membezakan tugas antara Kerajaan Persekutuan dan negeri serta tidak terus memeningkan kepala Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan mengeluarkan kenyataan sedemikian.

"Saya menyarankan agar elok kiranya YB Rafizi 'pecah kepala' memikirkan bagaimana untuk membantu Perdana Menteri menyelesaikan kemelut ekonomi dan kos sara hidup rakyat.

"Timbul juga persoalan, adakah semua yang beliau buat ketika ini seolah-olah ingin mensabotaj 'bos' beliau agar rakyat terus marah kepada Perdana Menteri? Hanya beliau yang tahu kebenarannya," tulisnya.

Sebelum ini, Rafizi ketika menyampaikan ceramah pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap berkata Timbalan Presiden PAS yang ketika itu menjawat tugas Menteri Air dan Alam Sekitar seharusnya lebih tahu dan tidak mengabaikan masalah berkenaan di Sungai Bakap.­