NIBONG TEBAL: Pemuda PERIKATAN NASIONAL (PN) telah mendedahkan kewujudan elemen rasuah dan salah guna kuasa terhadap penggunaan wang rakyat dalam isu projek terowong dasar laut di negeri ini.

Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Mohamad Ikhwan Afiq Mohamad Anwar sehubungan itu telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan, di sini sebentar tadi.

Dalam sidang media sebelum itu, mereka mempersoalkan tindakan-tindakan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang diketuai DAP-Pakatan Harapan (PH) dalam menguruskan projek bernilai RM6.3 bilion tersebut.

Menurut mereka, tindakan Ketua Menteri, Chow Kon Yeow mengumumkan kemungkinan untuk membatalkan projek tersebut berdasarkan Pelan Induk Pelabuhan Pulau Pinang adalah sesuatu yang mengejutkan.

Terang mereka, projek sejak tahun 2013 tersebut telah dianugerahkan kepada kontraktor untuk dimulakan 17 tahun selepas itu, namun selepas 12 tahun berlalu, kajian kebolehlaksanaan bernilai RM305 juta juga belum dimulakan.

Turut dipersoal adalah status dakwaan rasuah oleh seorang individu melibatkan suapan sebanyak RM19 juta yang diterimanya daripada Ketua Menteri ketika itu bagi menutup bukti gambar dari diperolehi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Jadi kenapa kalau isu terowong ini tak rasuah, tak ada sakit, tak ada tipu, tak ada sakau, tak ada curi, kenapa kamu perlu bagi individu ini sebanyak RM19 juta untuk tutup kes ini?” soal mereka.

Exco Biro Penerangan BERSATU, Badrul Hisham Shaharin dan Exco Pemuda PAS Pulau Pinang, Mohamad Razis Abdul Rahman selaku jurucakap pada sidang media itu menegaskan, sebahagian kes tersebut telahpun diketahui umum.

Namun kata mereka, berdepan banyak perbicaraan di mahkamah termasuk digugurkan kes dan pendakwaan semula, tetapi semua itu menunjukkan bahawa DAP merupakan kerajaan yang korup. 

Sumber | HARAKAHDAILY