NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Sungai Bakap: Pengundi Cina pilih PN, tamparan buat PH



ALOR SETAR - Kemenangan Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap turut disumbangkan oleh pengundi Cina di beberapa pusat daerah mengundi (PDM).

Naib Presiden Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen berkata, kecenderungan pengundi Cina kepada pembangkang agak menyerlah terutama di PDM Sungai Bakap dan Puteri Gunung yang majoritinya kaum Cina.

Menurutnya, ini menunjukkan biarpun naratif sama digunakan pihak lawan untuk menakut-nakutkan pengundi Cina terhadap Pas, pengundi Cina tetap memberi undi kepada calon Pas.

“Mengapa keadaan ini berlaku? Saya percaya pengundi Cina rasa ditipu atau dikhianati, mandat yang diberikan oleh mereka kepada Pakatan Harapan (PH) diambil endah, janji-janji manis dahulu telah dibakulsampahkan.

“Bukan sahaja janji tidak ditepati malah dasar yang sebaliknya dilaksanakan. Menipu pun ada batasannya, buka mulut sahaja bohong, macam mana rakyat tak marah?” katanya di sini pada Ahad.

Chia Zhen yang juga Ketua Pemuda Gerakan Pusat berkata, penolakan PH di Sungai Bakap ibarat satu tamparan kepada kerajaan negeri yang mentadbir Pulau Pinang selain memberi isyarat jelas kepada Kerajaan Madani.

“Mesej yang hendak disampaikan kepada Kerajaan Madani sangat jelas. Kerajaan seharusnya prihatin dan mengambil kira suara rakyat marhaen, bukan bersikap angkuh mahu tunjuk siapa lebih pandai.

“Tahniah kepada pengundi Sungai Bakap! Kemenangan ini milik rakyat,” ujarnya.

Chia Zhen turut mengingatkan pemimpin PH dan Barisan Nasional (BN) agar mengingati sejarah lalu.

“Sejarah akan berulang sekiranya sejarah tidak dikenang. Kerajaan BN dulu menang dengan keputusan paling megah pada tahun 2004 namun kalah teruk pada pilihan raya 2008.

“Kemenangan pilihan raya tidak sepatutnya diambil endah, lebih-lebih lagi selepas kerajaan campuran dibentuk,” katanya.

Menurutnya lagi, isu-isu berkaitan rakyat khususnya subsidi diesel atau petrol tidak seharusnya diambil mudah.

“Saya setuju subsidi pukal membebankan kewangan negara, tetapi rasionalisasi subsidi perlu dibuat secara berperingkat, bukannya harga diesel dinaikkan sebanyak 60 peratus dalam tempoh sehari,” jelasnya.

Chia Zhen berkata, pengundi sudah bersuara dan penolakan kepada PH bukan disebabkan hasutan mahupun kempen retorik PN.

“Kami tidak menghasut rakyat hari-hari seperti PH dahulu, tetapi kami menjadi pembangkang yang bertanggungjawab, kami lakukan semak imbang terhadap dasar kerajaan, kami menjadi wakil kepada suara rakyat marhaen.

“Tahniah kepada PN, ini satu kemenangan yang sangat bernilai, pada masa sama satu tamparan kepada kerajaan Madani,” katanya.

Pada Sabtu, calon PN, Abidin Ismail menewaskan calon PH, Dr Joohari Ariffin pada PRK Sungai Bakap.

Abidin, 56, mempertahankan kemenangan PN dengan memperoleh 14,489 undi menewaskan pencabarnya, Joohari yang meraih 10,222 undi.



Sumber | Sinar Harian 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo