NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRK Nenggiri medan Umno vs PAS, kata penganalisis

Presiden Umno Zahid Hamidi (kanan) sebelum ini berkata, partinya tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Hadi Awang menjadi presiden.


PETALING JAYA
PRK Nenggiri bulan depan akan tertumpu pada persaingan antara Umno dan PAS, menurut seorang penganalisis politik.

Felo Majlis Profesor Negara Azmi Hassan berkata, PAS akan cuba meminta Perikatan Nasional (PN) meletakkan calon partinya pada PRK 17 Ogos itu.

Katanya, PAS akan menggunakan alasan kemenangannya pada PRK Sungai Bakap baru-baru ini, kekalahan calon Bersatu Khairul Azhari Saut pada PRK Kuala Kubu Baharu, dan gelombang hijau yang berterusan melanda negeri-negeri Pantai Timur.

Desakan PAS akan mencetuskan permusuhan dan masalah dalam PN berhubung pemilihan calon, menjadikan PRK Nenggiri medan Umno melawan PAS, bukan tentang PN mahupun gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), katanya kepada FMT.

Hubungan antara Umno dan PAS mula renggang selepas PAS menubuhkan PN dengan Bersatu pada 2020 selepas keluar daripada pakatan Muafakat Nasional dengan Umno.

Pada Isnin, Presiden Umno Zahid Hamidi berkata, partinya tidak akan bekerjasama dengan PAS selagi Hadi Awang menjadi presiden. Zahid berkata, beliau menjadi saksi Hadi mengubah pendiriannya mengenai kenyataan bersama mereka mengikut suka hatinya.

Umno dijangka memutuskan calonnya untuk PRK Nenggiri minggu ini, dengan senarai pendek bakal calon disediakan oleh bekas Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah, pengarah PRK parti itu.

Azmi dan penganalisis politik Asrul Hadi Abdullah Sani meramalkan persaingan sengit antara PN dan BN, memandangkan kerusi DUN itu kubu kuat Umno selama beberapa dekad.

Mereka berkata, tinggi kebarangkalian BN akan dapat mengatasi majoriti tipis 810 undi yang diperoleh Mohd Azizi Abu Naim tahun lepas.

PRK Nenggiri diadakan berikutan kekosongan luar jangka kerusi itu yang diisytiharkan oleh speaker DUN Kelantan, selepas Azizi tidak lagi menjadi ahli Bersatu.

PRK itu akan menjadi ujian litmus penting untuk Umno, menawarkan parti itu peluang menilai popularitinya di nusa teras Melayu, kata Asrul.

Beliau juga berkata, tekanan yang dihadapi Zahid sebagai presiden Umno akan menjadi lebih hebat sekiranya BN gagal merebut semula kerusi DUN itu.

Bagaimanapun, Asrul berkata, Zahid tidak akan rela hati menarik diri daripada gabungan PH-BN kerana beliau perlu kekal sebagai timbalan perdana menteri untuk mengukuhkan kedudukannya dalam Umno.

Gesaan agar Zahid meletak jawatan sebagai presiden Umno telah dibangkitkan beberapa kali sebelum ini, terutamanya susulan prestasi buruk BN pada PRN Ogos lepas. BN hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi yang ditandinginya di kesemua enam negeri.

Tanpa jawatan dalam Jemaah Menteri, Zahid tidak mempunyai kuasa sebenar, menyukarkan beliau menyekat sebarang pemberontakan, kata Asrul.



Sumber | FMT Malaysia 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo