NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemuda UMNO tidak faham isu Akta Antilompat Parti - Adam Adli

Ketua Pemuda PKR Adam Adli jawab Ketua Pemuda Umno Akmal Saleh yang menyifatkan akta antilompat parti sia-sia selepas wakil rakyat berpaling tadah tidak hilang kerusi.


PETALING JAYA: Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh, gagal memahami isu secara mendalam selepas mempersoalkan keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul tidak mengosongkan kerusi enam bekas Ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah untuk menyokong kerajaan, menurut Pemuda PKR.

Ketuanya Adam Adli Abd Halim berkata Akmal sepatutnya merujuk terlebih dahulu pandangan, maklumat, dan fakta, serta pendirian bersama kerajaan perpaduan sebelum membuat kritikan.

“Ini amalan bersama yang amat dituntut dan seharusnya jadi keutamaan terutama dalam situasi yang runcing. Kita tidak boleh terbuai dan menari mengikut rentak sumbang pembangkang. Jangan terpesona dengan sorakan pembangkang. Enak didengar tapi hanya untuk menjatuhkan kita.

“Adalah mendukacitakan andai kita yang bersama dalam perpaduan ini tidak mampu menolak pesona naratif pembangkang dan hanya menambah kekeliruan dalam kalangan masyarakat yang memerlukan hala tuju yang jelas,” katanya dalam kenyataan.

Adam bagaimanapun akui kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim tidak sempurna, perlukan teguran dan banyak pembaharuan, namun ia tidak boleh dijadikan alasan untuk sentiasa diserang, tanpa tindakan yang lebih konstruktif.

Adam turut mempertahankan Johari sambil meminta semua pihak menghormati keputusan speaker Dewan Rakyat tidak mengosongkan kerusi enam Ahli Parlimen Bersatu kerana ia dibuat mengikut ketetapan Perlembagaan dan tidak bercanggah dengan tafsiran undang-undang lompat parti.

“Pada zahirnya, enam Ahli Parlimen tersebut tidak membelakangi undang-undang, memandangkan mereka tidak pernah menukar keahlian parti mahupun meninggalkan parti masing-masing untuk menyertai parti politik lain. Ini telah digariskan secara jelas oleh akta lompat parti.

“Pembangkang menyandarkan takrifan mereka dengan terhadap keputusan yang dibuat oleh speaker DUN Kelantan yang membawa kepada kekosongan kerusi DUN Nenggiri.

“Hal ini tidak sama sekali menandakan bahawa Dewan Rakyat berkewajipan mentafsir dengan pandangan yang sama memandangkan kedua-duanya dipisahkan oleh ruang lingkup kuasa yang berbeza.

“Kita juga boleh merujuk kepada keputusan yang dibuat di DUN Selangor di mana kerusi Selat Klang telah diisytiharkan sebagai kekal dan tidak bercanggah dengan akta lompat parti. Maka terdapat dua tafsiran berbeza yang bercanggah dalam isu ini. Dewan Rakyat tidak bersendirian dalam mencapai keputusan yang sama,” katanya.

Akmal di Facebook semalam menyifatkan akta antilompat parti diluluskan di Parlimen dua tahun lalu sia-sia selepas wakil rakyat berpaling tadah tidak hilang kerusi.

Beliau juga mahu hak rakyat yang tidak mahu wujud lagi ‘katak politik’ dihormati.



Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo