SHAH ALAM - Perikatan Nasional (PN) menyeru Kerajaan Malaysia untuk segera memanggil Mesyuarat Khas Dewan Rakyat bagi mengambil ketetapan tegas negara dalam konflik membabitkan nyawa dan masa hadapan Palestin.
Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu perlu dilaksanakan susulan kematian pemimpin tertinggi yang juga Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh.
"Saya merasa amat terkejut dan sedih apabila menerima berita pembunuhan kejam mujahid Islam, Allahyarham Ismail Haniyeh, pemimpin Hamas yang juga merupakan bekas Perdana Menteri Palestin.
"Perlakuan ini adalah satu jenayah tidak berperikemanusiaan, terkutuk lagi terkeji yang wajib dikecam sekeras mungkin. PN akan terus berdiri teguh bersama-sama rakyat Palestin dalam perjuangan membebaskan tanah air mereka daripada cengkaman rejim Zionis Israel," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan Haniyeh, 62, terbunuh dalam 'serangan khianat Zionis ke atas kediamannya di Teheran'.
Menurut Muhyiddin, serangan kediaman Allahyarham Ismail Haniyeh juga merupakan tindakan bacul rejim Zionis Israel dalam siri genosid ke atas rakyat Palestin.
"Seluruh keluarga besar pimpinan, penyokong dan akar umbi PN mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para syuhada serta orang-orang yang soleh.
"PN mengucapkan takziah kepada ahli keluarga Allahyarham dan seluruh rakyat Palestin atas kehilangan pemimpin mereka yang syahid di jalan ALLAH," katanya.
Ismail Haniyeh berada di Teheran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden Iran, Masoud Pezeshkian.
Kedua-dua pemimpin itu bergambar bersama dalam gambar rasmi yang dikeluarkan oleh Presiden Iran pada Selasa.
Setakat ini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab dalam serangan tersebut.
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment