NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Masyarakat Melayu berjudi tanpa sedar sejak kecil

KUALA LUMPUR: Ramai orang Islam pada hari ini terlibat dengan permainan berbentuk perjudian secara langsung dan tidak langsung sejak zaman berzaman.

Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Ustaz Azhar Yahya berkata, aktiviti perjudian boleh sahaja dilakukan sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

“Kita telah diajar dengan sebahagian besar permainan zaman kecil dahulu seperti tikam ‘Apache’ dan tikam barangan mainan budak-budak, guli kecil, gambar terup; dan apabila meningkat remaja mereka bermain tikam, pancing itik dan baling gelung di Fun Fair, semua permainan-permainan sebegini yang menuju kepada perjudian sebenarnya,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurut beliau, permainan-permainan sebegitu yang telah menyuburkan aktiviti perjudian secara tidak langsung dan menyebabkan ramai orang pada hari ini mula melibatkan diri dalam perjudian-perjudian berbentuk nombor ekor, loteri dan seumpamanya.

“Tidak ramai yang akan sedar mengenai perkara ini sehingga dia benar-benar mengkaji secara mendalam. Namun, malangnya sekarang ini aktiviti perjudian mula merebak dalam bentuk lain pula.

“Antaranya ialah pertandingan memancing dan sukan yang ada unsur pertaruhan yang mana sesiapa yang menang akan diberikan wang tunai sebagai hadiah.”

“Lebih parah lagi apabila perjudian telah memasuki dunia maya, perjudian online ini telah menyebabkan seluruh tempat termasuklah ketika waktu khutbah  dan dalam tandas pun orang boleh berjudi.

“Judi kanak-kanak, judi ‘Fun Fair’, judi ekor hinggalah online, disemua peringkat menyaksikan para pemilik perjudian juga sentiasa menang dengan cara sebegitu iaitu membuat keuntungan di atas pemain-pemain judi itu sendiri sama ada mereka kalah ataupun menang. Jadi, amat wajar kerajaan negeri Kedah mengambil tindakan dengan menutup semua premis perjudian.

“Bahkan semua pihak perlu peka iaitu bermula dari pekedai runcit yang terlibat menjual bahan-bahan berunsur judi hinggalah Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Kementerian-Kementerian yang terbabit. 

“Semua pihak akan menanggung kerosakan yang tidak terhingga sekiranya tidak mengambil tindakan memadamkan industri judi yang telah mengakar akar umbi ini,” jelasnya.

Terdahulu, media melaporkan Mahkamah Tinggi Alor Setar pada 20 Jun lalu, membenarkan permohonan semakan kehakiman dibuat bagi menghalang tindakan kerajaan negeri mengharamkan aktiviti perjudian berlesen.

Terdahulu, laporan media tempatan melaporkan, kerajaan negeri difahamkan memfailkan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan keputusan itu, sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 14 November 2021, mengumumkan Kedah tidak lagi memberi kelulusan lesen premis perjudian, selain mengehadkan jualan arak di seluruh negeri itu.

Beliau mengumumkan, semua operasi premis perjudian dan loteri di Kedah ditamatkan sepenuhnya mulai 1 Januari 2023, apabila kerajaan negeri tidak lagi memperbaharui lesen perjudian selepas tarikh itu.

Sehubungan itu, Azhar  menyatakan perkara-perkara sebegini yang telah menyumbang kepada kesuburan ekonomi hitam (black economy) berbentuk rasuah, pengubahan wang haram (money laundering) dan merosakkan lagi kehidupan sosial rakyat itu sendiri.

Menurutnya, sikap Menteri Besar Kedah yang menutup semua jenis premis perjudian merupakan sesuatu perkara yang sangat dipuji kerana bukan sahaja mengikut seruan agama tetapi juga memelihara kehidupan rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.

“Kita semua menyokong sepenuhnya kejayaan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor dalam melakukan sedemikian dan jangan sesekali pun membiarkan amalan perjudian untuk terus merebak dalam negara ini,” katanya. 

Sumber – HARAKAHDAILY 


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo