NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ketelusan belanjawan: Terengganu kekal negeri terbaik – IDEAS




KUALA TERENGGANU: 
Terengganu mengekalkan prestasi cemerlang sebagai negeri terbaik dalam ketelusan belanjawan atau perbelanjaan sesebuah kerajaan menurut kajian badan bebas, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS).

Jelas IDEAS, pengiktirafan terhadap Kerajaan Terengganu bagi dua tahun berturut-turut itu dibuat berdasarkan sistem Indeks Belanjawan Terbuka Malaysia (MyOBI) 2024 yang dibina berdasarkan penanda aras peringkat antarabangsa.

“Indeks ini dibina mengikut tiga komponen utama iaitu kebolehancapaian awam terhadap dokumen belanjawan kerajaan negeri (termasuk laporan audit), kedua peranan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam memantau belanjawan dan ketiga peranan orang awam dalam proses belanjawan,” kata IDEAS dalam satu kenyataan rasmi hari ini.

Hasil penilaian tersebut, Terengganu mencatatkan skor tertinggi sebanyak 76 mata bagi komponen kebolehcapaian awam terhadap dokumen penting belanjawan kerajaan negeri.

Ujar IDEAS, dari sudut perbelanjaan, Terengganu, Selangor dan Negeri Sembilan menonjol kerana telah menerbitkan data tentang perbelanjaan operasi mengikut klasifikasi ekonomi.

“Terengganu turut menyediakan data terperinci tentang perbelanjaan negeri sehingga ke peringkat program.

“Terengganu juga wajar dipuji kerana ia merupakan satu-satunya negeri setakat ini yang menerbitkan dokumen Cadangan Belanjawan Eksekutif (EBP) secara konsisten. Penerbitan dokumen EBP penting kerana ia mengandungi maklumat melibatkan dana awam dan keutamaan perbelanjaan negeri.

“Selain itu, hanya Terengganu yang menyediakan Rang Undang-undang Perbekalan sepanjang proses penilaian MyOBI kali ini.

“Bagi dokumen Enakmen Perbekalan (EB) pula, hanya Terengganu memberi akses dokumen ini kepada orang awam di dalam laman sesawang rasminya ketika proses penilaian MyOBI ini, dokumen ini perlu ada kerana ia teks belanjawan autoritatif yang telah diluluskan sidang DUN,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, bagi skor pemantauan yang merujuk kepada peranan DUN dalam proses belanjawan, Terengganu juga unggul dengan markah tertinggi iaitu 67 mata.

“Hal ini (berkait dengan proses) memantau ketepatan waktu untuk membentang belanjawan negeri supaya adanya masa yang cukup untuk menyemak dan membahaskan belanjawan tersebut.

“Selain itu, pemantauan juga dibuat terhadap bilangan persidangan DUN, maklumat yang boleh diakses oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negeri (PAC) dan semakan menyeluruh terhadap Laporan Audit sebelum ini mengikut tempoh waktu yang telah ditetapkan,” kata IDEAS.

IDEAS juga menegaskan, selepas para penyelidik menyelesaikan penilaian, pihak IDEAS akan menghantar hasil kajian kepada pewasit berpengalaman dan pihak kerajaan negeri untuk mendapatkan ulasan lanjut.

“Malangnya, hanya Kerajaan Terengganu bersetuju untuk menjalankan semakan terhadap hasil soal selidik melalui badan pemikir negeri, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS),” katanya.

Tambah kenyataan itu lagi, jika rakyat dapat memantau dan meneliti butiran perbelanjaan kerajaan, kebarangkalian untuk berlakunya masalah korupsi dan penyelewengan dana dapat dikurangkan.

“Hal ini kerana, para penjawat awam akan kurang terlibat dengan aktiviti korupsi jika mereka tahu bahawa mereka sedang dipantau,” jelas IDEAS. – TRDI.my






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo