NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Kerajaan macai BlackRock, pengecut”, KJ dakwa kerajaan salahguna kuasa legislatif



Bekas ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menyasarkan komen tajam terhadap Putrajaya selepas blok kerajaan hari ini meluluskan usul menggantung Ahli Parlimen Machang Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama enam bulan.

Khairy berkata adalah jelas ahli parlimen Perikatan Nasional itu digeruni pemimpin kerajaan di atas kelantangan beliau mempersoalkan rancangan Putrajaya membawa masuk sebuah syarikat milik BlackRock dalam pengurusan lapangan terbang negara.

"Jelas sekali, dia menggerunkan anda. Macai BlackRock. Semoga duit Zionis berbaloi," kata Khairy dalam catatan media sosial.

Menurut Khairy, tindakan itu mendedahkan sikap pengecut kerajaan dalam menangani pembangkang.

"Pengecut. Anda ejek dia 'jargon', tidak tahu apa-apa. Akhirnya anda yang menyalahgunakan kuasa legislatif anda untuk menghalaunya selama enam bulan," katanya merujuk kepada panggilan yang diberikan penyokong kerajaan terhadap ahli Parlimen dari Bersatu itu. 

Seramai 110 ahli Parlimen kerajaan menyokong usul menggantung Wan Fayhsal, manakala 63 menentang. Tiga wakil rakyat berkecuali manakala 46 tidak hadir.

Usul tersebut dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman Said, yang menuduh Wan Fayhsal mengaibkan seorang pegawai Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) ketika mengulangi kandungan "surat layang" yang pegawai itu tidak disukai staf bawahannya.

"Dakwaan YB Machang adalah merupakan satu perbuatan yang seolah-olah menjatuhkan martabat pegawai-pegawai agensi di bawah kementerian yang telah bertungkus lumus dalam membantu anggota pentadbiran dalam membangunkan Malaysia.

"YB Machang telah mengeluarkan kenyataan dan dakwaan yang serius dan bertindak membangkitkan perasaan melawan kuasa kerajaan," kata Azalina dalam suratnya kepada Speaker Johari Abdul semalam.

Berucap di Dewan Rakyat pada 1 Julai, Wan Fayhsal merujuk kepada sebuah kiriman tular yang menamakan seorang pegawai KWSP sebagai dalang perjanjian menjual saham Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP), syarikat milik BlackRock, pengurus dana AS yang berdepan dakwaan bersubahat dengan jenayah Israel.

"Ramai kakitangan KWSP tidak berani bersuara. Jadi mereka minta kami, pihak pembangkang suarakan kebimbangan mereka. Mereka tidak mahu bersubahat dengan keputusan kerajaan Madani menjual saham dan dana KWSP," Wan Fayhsal berkata dalam ucapannya.

Di bawah pelan diumumkan Putrajaya, GlP milik BlackRock akan membeli 30% kepentingan dalam konsortium untuk menguruskan MAHB bersama-sama Khazanah Nasional dan KWSP, dua entiti di bawah bidang kuasa Kementerian Kewangan diterajui Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ia mencetuskan bantahan disebabkan reputasi BlackRock yang  memperkasakan ekonomi Israel dan pelaburannya yang meluas dalam industri senjata AS, di samping keperluan kerajaan membawa masuk entiti asing memiliki kepentingan MAHB yang mencatatkan keuntungan bersih lebih setengah bilion ringgit tahun lepas.

Anwar telah berulang kali mempertahankan keputusan untuk menjual saham MAHB kepada GIP, dengan alasan kerajaan tidak boleh memutuskan hubungan dengan syarikat yang berurusan dengan Israel, di samping langkah tersebut akan "menjejaskan ekonomi negara".

Beliau turut mendakwa pemimpin Hamas tidak mempunyai masalah apabila Malaysia menjalankan perniagaan dengan syarikat pro-Israel.

Pada hari sama, Hamas mengeluarkan kenyataan menggesa negara Islam dan penyokong Palestin meneruskan boikot terhadap Israel dan mana-mana pihak yang menyokongnya. Ia turut menyifatkan kempen global setakat ini telah mencapai "kejayaan penting dalam menjejaskan ekonomi entiti itu, mengasingkannya, dan memadamkan legitimasinya".




Sumber | MalaysiaNow







........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo