NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Kenapa takut kosongkan kerusi?' Ku Li selar keputusan 'politik' speaker Dewan Rakyat

Tengku Razaleigh Hamzah berkata keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul bermotifkan politik tanpa bersandarkan tafsiran tepat undang-undang anti lompat parti.


Veteran dan penasihat Umno Tengku Razaleigh Hamzah turut sama membantah keputusan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul untuk tidak mengosongkan enam kerusi Parlimen disandang wakil rakyat Perikatan Nasional (PN) yang berpaling tadah kepada kerajaan.

Razaleigh yang lebih dikenali sebagai Ku Li berkata Dewan Undangan Negeri Kelantan lebih memahami undang-undang anti-lompat parti ketika mengosongkan kerusi DUN Nenggiri bulan lalu.

Katanya keputusan Johari itu sepatutnya sama dengan DUN Kelantan kerana kedua-duanya berdasarkan peruntukan perlembagaan yang sama yang dipinda untuk menyekat perbuatan lompat parti.

"Tak boleh berbeza di antara satu dengan yang lain, kerana peruntukan dalam perlembagaan itu sama," katanya merujuk pindaan perlembagaan pada 2022 yang memerlukan kerusi wakil rakyat dikosongkan sekiranya keahlian partinya gugur.

"Dengan tujuan yang sama, jelas sekali di Kelantan dilakukan kerana kekosongan itu mesti wujud, oleh sebab wakil di Kelantan itu sudah memberi sokongan kepada parti lain," kata Ku Li, yang juga ketua Umno Bahagian Gua Musang di mana terletaknya kerusi Nenggiri.

Pada Rabu, PN dimaklumkan Johari bahawa beliau tidak akan mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen Bersatu yang berpaling tadah, mencetuskan kemarahan di kalangan ahli Parlimen serta kritikan daripada pakar undang-undang dan beberapa pemimpin kerajaan yang menganggap keputusan itu berat sebelah.

Ini disusuli dengan satu lagi keputusan DUN Selangor, di mana speaker dari DAP, Lau Weng San tidak mahu mengosongkan kerusi Selat Klang kerana mendakwa penyandangnya Abdul Rashid Asari dipecat, dan bukan gugur keahlian Bersatu kerana berpaling tadah seperti yang diperuntukkan perlembagaan parti itu.

Tiga minggu sebelum itu, Speaker DUN Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah mengisytiharkan kerusi Nenggiri yang disandang Mohd Azizi Abu Naim dikosongkan bagi mengadakan pilihan raya kecil.

Azizi juga merupakan ahli Parlimen Gua Musang, selepas menewaskan Ku Li yang menyandang kerusi itu selama lebih empat dekad, pada pilihan raya umum yang lalu.

Selain Azizi, lima lagi ahli Parlimen yang berpaling tadah untuk menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim ialah Zulkafperi Hanafi (Tanjong Karang), Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul (Bukit Gantang), Zahari Kechik (Jeli), Suhaili Abdul Rahman (Labuan) dan Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar).


Sumber | MalaysiaNow 





........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo