PERJUDIAN dalam talian memudahkan lagi pengguna untuk berjudi tanpa perlu ke kasino dan boleh dilakukan di mana sahaja. |
JUDI secara umum merujuk kepada aktiviti mempertaruhkan wang atau harta benda dalam sesebuah permainan atau acara dengan harapan untuk memenangi lebih banyak wang atau ganjaran.
Judi melibatkan unsur nasib atau kebetulan dan bukan disebabkan kemahiran atau strategi. Bahkan judi akan menyebabkan salah satu pihak mengalami kerugian pada akhirnya.
Permainan judi termasuklah permainan kad, mesin slot, pertaruhan sukan, lumba kuda, loteri dan permainan kasino lain yang biasanya dijalankan di kasino, rumah perjudian serta platform dalam talian.
ALLAH SWT telah menyatakan larangan-Nya mengenai judi dalam ayat ke-90 dan ke-91 surah al-Maidah:
"Wahai orang-orang Mukmin, sesungguhnya arak, judi, berhala, anak panah (judi) adalah najis (kotor) daripada kelakuan syaitan. Jauhilah ia supaya kamu beroleh kemenangan. Sesungguhnya syaitan bertujuan menjadikan permusuhan dan kebencian di antara kamu melalui arak dan judi, serta menghalang kamu mengingati ALLAH dan mendirikan solat."
Ayat itu jelas menunjukkan pengharaman arak dan segala bentuk judi.
Faktor judi dalam talian jadi pilihan
Di Malaysia, judi merupakan antara premis yang dikawal ketat atau diharamkan sama sekali kerana ia boleh membawa kepada masalah sosial dan ekonomi seperti ketagihan judi serta kerugian kewangan yang besar.
Bagaimanapun, aktiviti perjudian semakin berkembang mengikut arus peredaran zaman apabila wujudnya platform judi dalam talian.
Pengguna boleh berjudi dengan hanya menggunakan komputer atau peranti mudah alih dan ia menjadikan aktiviti itu sangat mudah untuk diakses tanpa perlu ke pusat kasino serta boleh diakses di mana-mana sahaja.
Kemudahan itu memberi kebebasan kepada pengguna untuk berjudi mengikut keselesaan mereka. Ia menjadikan kawalan dan penguatkuasaan lebih sukar bagi pihak berkuasa.
Terdapat banyak laman web perjudian dalam talian yang beroperasi dari luar negara dan ia menjadikannya lebih sukar untuk dibanteras oleh pihak berkuasa tempatan.
Antara faktor yang menjadi pilihan pengguna untuk menggunakan perkhidmatan judi dalam talian:
1 - Perkhidmatan dalam pelbagai bahasa termasuk bahasa tempatan untuk menarik pengguna setempat.
2 - Pelbagai pilihan permainan juga menarik perhatian pengguna seperti slot, poker, blackjack, rolet dan pertaruhan sukan.
3 - Bonus pendaftaran kepada pemain baharu seperti kredit percuma atau putaran percuma dan pengguna boleh menikmati pelbagai promosi serta tawaran istimewa yang tidak terdapat di kasino fizikal seperti bonus tambah nilai, pulangan tunai dan kejohanan.
4 - Pendaftaran yang cepat adalah salah satu ‘keistimewaan’ utama perjudian dalam talian, menjadikan faktor ia lebih disukai berbanding berjudi secara fizikal.
5 - Deposit yang cepat dan mudah. Setelah mendaftar, pengguna boleh membuat deposit wang ke dalam akaun perjudian mereka dengan mudah.
6 - Berjudi tanpa diketahui oleh orang lain dan memberikan lebih banyak privasi berbanding perjudian di pusat kasino.
Hal itu akan memburukkan lagi keadaan dan membentuk generasi yang malas belajar serta sambil lewa dalam melakukan kerja kerana mereka beranggapan perjudian adalah antara sumber pendapatan boleh diraih tanpa perlu berpenat lelah melakukan kerja.
Kesan negatif judi
1 - Perjudian yang berlebihan boleh menyebabkan pengurangan dalam produktiviti pekerja. Mereka yang terlibat dalam perjudian berkemungkinan akan kurang fokus dan kurang bersemangat untuk bekerja, pada akhirnya boleh menjejaskan hasil kerja serta kualiti pekerjaan mereka.
2 - Aktiviti perjudian yang tidak dikawal dengan baik juga boleh membuka ruang kepada kegiatan jenayah seperti penipuan, pengubahan wang haram dan aktiviti haram lain.
3 - Pemindahan wang ke luar negara akan berlaku kerana wang yang dibelanjakan untuk perjudian sering kali keluar dari ekonomi tempatan dan negara terutama jika platform perjudian itu berpangkalan di luar negara.
4 - Berisiko menghadapi masalah kewangan peribadi yang serius seperti mempunyai hutang tinggi. Ia boleh mengurangkan kuasa beli mereka dan mengakibatkan masalah sosial yang lebih luas seperti kebankrapan dan tekanan mental.
5 - Ketagihan perjudian boleh membawa kepada masalah kesihatan mental dan sosial yang serius. Ia meningkatkan kos kesihatan awam kerana lebih banyak sumber perlu digunakan untuk merawat masalah kesihatan mental dan sosial yang berkaitan dengan perjudian.
Masyarakat hari ini mudah terpengaruh dengan kemudahan-kemudahan yang wujud di alam maya terutama sumber yang mendatangkan hasil pendapatan tanpa memikirkan soal halal dan haram.
Mencari sumber kewangan bukanlah satu perkara yang mudah dan ia memerlukan usaha untuk meraih hasil.
Kita sebagai pengguna yang bijak perlu berhemah dalam menggunakan serta melayari setiap kemudahan yang ada dan meletakkan neraca agama dalam meraih pendapatan yang halal.
***NUR AINAA AFIQAH MUHAMAD merupakan Mahasiswa Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
***JAHARUDIN PADLI merupakan Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT)
Sumber | Sinar Harian
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment