KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yakin sekiranya ahli Parlimen kerajaan sekarang masih dalam kedudukan pembangkang – kumpulan itu akan membantah lesen kepada perkhidmatan media sosial dan pesanan internet.
Salah seorangnya termasuk Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan yang akan mendakwa tindakan kerajaan mengenakan lesen berkenaan sebagai trojan horse bagi menyekat perbincangan politik.
“Saya yakin kalau peranan ini ditukar, katakanlah BN masih berkuasa dan BN buat perkara ini, saya yakin 101 peratus ahli Parlimen yang ada sekarang, kalau peranan ditukar – mereka pembangkang, aktivis media sosial macam Ahli Parlimen Bangi, confirm dia akan kecam benda ini.
“Akan kata, ini usaha untuk menutup kebebasan bersuara tapi hari ini sudah tentu dia menjadi cheerleader macam di sekolah tinggi Amerika, dia adalah wanita yang berdiri paling atas piramid, menyokong,” katanya.
Bagaimanapun bekas Ahli Parlimen Rembau itu menyokong tindakan kerajaan mengenakan lesen terhadap perkhidmatan media sosial dan pesanan internet kerana platform terbabit terlalu bebas dan tidak terkawal.
Namun terdapat kerisauan tindakan berkenaan juga akan menutup ruang kritikan terhadap kerajaan dan perbincangan politik.
“Saya katakan ini kerana sejak beberapa hari ini ada beberapa akaun dipadam di X yang mana ia dikenali sebagai suka mengkritik kerajaan.
“Ada beberapa hantaran termasuk Menteri Besar Terengganu, Datuk Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang telah diturunkan di TikTok. Hantaran saya juga telah diturunkan. Saya tak menyebarkan berita palsu, hanya beri pandangan berkenaan Malaysia Airports Holding Berhad.
“Bila berita ini (lesen) keluar, pada masa sama ada kes akaun ditutup, X kata mereka telah menerima aduan daripada MCMC melanggar syarat-syarat X sebab itu perlu digantung, maka di situ ada tanya, selain daripada niat murni adakah teras kedua adalah penutupan ruang perbincangan politik dan kritikan yang adil,” katanya.
Khairy Jamaluddin berkata demikian dalam podcast Keluar Sekejap yang dikendalikan bersama Shahril Hamdan.
Semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di negara ini perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588).
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam kenyataan memaklumkan langkah itu akan dikuat kuasa bermula 1 Januari 2025, susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan internet diperkenal bermula 1 Ogos ini.
MCMC berkata, penguatkuasaan ini selaras keputusan Jemaah Menteri bahawa perkhidmatan media sosial dan perkhidmatan pesanan Internet di negara ini, mesti mematuhi undang-undang negara.-MalaysiaGazette
........
Komen: ........
............oo000oo........... PENAFIAN 1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit. ...oo... |
No comments
Post a Comment