NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gaduh sekarang kesan bawa ke PRU16, pemimpin PAS ingatkan ahli PN

Hashim Jasin mahu pemimpin dan ahli Perikatan Nasional tidak rosakkan matlamat penubuhan perpaduan komponen itu.


PETALING JAYA: Seorang pemimpin PAS bimbang kesan bakal dirasai Perikatan Nasional (PN) pada PRU16 jika pertikaian antara ahli partinya dengan Bersatu berpunca pemilihan calon PRK DUN Nenggiri gagal diselesaikan secara baik.

Mursyidul Am, Hashim Jasin, berkata pemimpin PAS dan Bersatu perlu berlapang dada dengan meletakkan matlamat penubuhan PN sebagai perkara asas, berbanding memikirkan kepentingan jangka pendek seperti pemilihan calon PRK 17 Ogos itu.

“Kena letak matlamat penubuhan perpaduan kita di tempat asal supaya jangan rosak kerana kalau bergaduh di peringkat PRK kesannya akan membawa kepada PRU16 nanti pada seluruh negara,” katanya kepada FMT.

Sebelum ini, Yang Dipertua PAS Gua Musang Azman Ahmad menyerahkan tiga nama untuk dipertimbangkan sebagai calon PN PRK Nenggiri walaupun kerusi itu secara tradisinya ditandingi Bersatu selaku penyandang.

Azman dipetik FMT berkata, pihaknya berharap calon PAS dipertimbangkan dengan alasan kebimbangan pengundi episod peralihan sokongan berulang jika wakil Bersatu diletakkan, merujuk tindakan penyandang Mohd Azizi Abu Naim yang juga Ahli Parlimen Gua Musang menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Lidah rasmi PAS, Harakah Daily pula melaporkan Ketua Wanita PAS Nuridah Salleh mahu wakil parti itu dipilih untuk meyakinkan penduduk Nenggiri yang calon PN tetap pendirian dan tidak melakukan kesilapan sama dibuat Azizi.

Ketua Bersatu Kelantan Kamaruddin Md Nor menjelaskan isu keyakinan pengundi sebenarnya tidak berbangkit, selain mengingatkan PAS juga mempunyai ‘macam-macam rekod’ dengan mengaitkan bekas pemimpinnya seperti Mohamad Sabu.

Semalam, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man mengesahkan Bersatu akan mewakili PN selaku penyandang kerusi itu.

DUN Nenggiri bawah Parlimen Gua Musang pernah menjadi kubu kuat Umno namun terlepas pada PRN Ogos tahun lalu apabila Azizi yang bertanding bawah logo PAS menewaskan Ab Aziz Yusoff daripada BN dengan majoriti 810 undi.

PRK Nenggiri diadakan susulan keputusan DUN Kelantan mengisytiharkan kekosongan luar jangka kerusi itu susulan perlucutan keahlian Azizi sebagai ahli Bersatu.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan 3 Ogos sebagai hari penamaan calon manakala undi awal 13 Ogos.



Sumber | FMT Malaysia 






........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo