Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan pihak berkuasa digesa untuk menyiasat seorang individu yang dikatakan menjadi dalang kepada penjualan sebahagian saham (kepentingan) Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) kepada Global Infrastructure Partners (GIP) yang dimiliki sepenuhnya oleh syarikat pro-Israel, Blackrock Inc. (BlackRock).

Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) berkata, individu tersebut dikatakan sebagai ‘sangat berkuasa’ sehingga boleh mempengaruhi keputusan yang dibuat oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurutnya, kewujudan individu tersebut didedahkan oleh pihak yang dipercayai sebagai ‘orang dalam’ KWSP melalui surat layang yang dihantar kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional.

Tambah Ahmad Fayhsal, beliau mahu pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) tahu bahawa berdasarkan maklumat tersebut, individu tersebut mempunyai karektor ‘pembuli’.

“(Berdasarkan surat layang tersebut) Ramai staf-staf KWSP mereka tak berani bersuara, jadi mereka minta kami dalam pembangkang di Parlimen bersuara menyatakan kebimbangan mereka.

“Mereka tak nak bersubahat dengan keputusan Kerajaan Madani untuk menjual saham dan dana KWSP terlibat dalam ‘deal’ (perjanjian) GIP-Blackrock ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengambil bahagian dalam perbahasan ‘Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan  (Suhakam) 2021 dan  2022’ di Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Kata beliau, Malaysia di bawah Suhakam telah pun meluluskan National Action Plan On Business And Human Rights (NAPBHR) Jun 2019 ketika era pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan Jun 2019.

“Saya nak ingatkan lagi kepada Kerajaan Madani pada hari ini penjualan saham MAHB yang kepada GIP dan BlackRock adalah salah satu pelanggaran hak asasi manusia,” kata beliau.

“Ini adalah berdasarkan laporan yang dikeluarkan oleh Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa negara atau syarikat yang terlibat dalam membekal senjata kepada negara haram Israel akan menanggung risiko melanggar hak asasi manusia,” hujahnya.

Beliau menyatakan, BlackRock adalah salah satu daripada syarikat yang termasuk dalam senarai tersebut oleh pihak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia PBB.

“Saya nak ingatkan pada kerajaan Madani yang kononnya menuduh kami terpaling Palestin, lebih Hamas daripada Hamas, ini satu penghinaan oleh Tambun kepada kami dan rakyat Malaysia!” tegasnya.

Kata beliau lagi, Kerajaan Norway baru-baru ini mengarahkan dana persaraannya, KLP, agar mengeluarkan pelaburan mereka dalam syarikat Caterpillar, yang mana jentolak jenama tersebut telah merobohkan puluhan ribu rumah  rakyat Palestin.

“Kalau Norway boleh buat mengapa Madani tak boleh buat?  Adakah ini satu penanda aras hak asasi manusia yang kerajaan Madani mahu bawa?” katanya.

Sumber | HARAKAHDAILY