NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Budi Umno sudah ‘dibayar’ dengan pemerintahan selama 60 tahun

Pada PRU15 Umno hanya menang 26 kerusi Parlimen dan meraih 31% undi popular. Parti itu hanya menang 19 daripada 108 DUN ditandingi pada PRN enam negeri.



PETALING JAYA
Umno tidak boleh lagi bergantung atas peranannya mendapat kemerdekaan negara sebagai asas untuk menjangka orang Melayu terus menyokong parti itu, kata penganalisis.

Asrul Hadi Abdullah Sani berkata, parti tunjang Barisan Nasional (BN) itu secara progresif hilang sokongan sejak PRU13, apabila kesetiaan orang Melayu beralih arah kepada calon berkemampuan menangani secara cekap isu setempat.


Pada luarannya, agama seakan penting kepada pengundi Melayu, namun hakikat sebenar kepada mereka adalah peluang ekonomi, kos sara hidup, pendidikan dan peluang untuk hidup lebih baik,

 katanya kepada FMT.

Asrul berkata demikian merujuk kenyataan bekas bendahari Umno Salleh Said Keruak berkait dua pilihan yang ada bagi parti itu.

Pilihan pertama – ‘orang Melayu banyak terhutang budi kepada Umno’ termasuk usaha mendapatkan kemerdekaan, dan ‘bantuan kepada orang Melayu’ atau pilihan kedua – ‘Umno banyak terhutang budi kepada orang Melayu’ kerana memberi peluang kepada parti itu memerintah negara selama 60 tahun.

Dalam pada itu, Azmi Hassan daripada Majlis Profesor Negara berkata, Umno tidak boleh mengharapkan ‘hutang budi’ orang Melayu akan diterjemahkan secara automatik sebagai undi kepada parti berkenaan.

Katanya, strategi Umno menggunakan sejarah mendapatkan kemerdekaan dan membangunkan negara tidak lagi berkesan.

Azmi membandingkannya dengan African National Congress (ANC), parti Afrika Selatan yang pernah disanjung atas perjuangan panjang menentang aparteid, sejak penubuhannya pada 1912.

Pada 1994, pemimpin ANC Nelson Mandela dipilih secara demokratik sebagai presiden. Parti itu mendominasi politik Afrika Selatan, namun hilang majoriti Parlimen buat kali pertama pada Mei lalu.

Katanya, Umno sepatutnya mengguna pakai naratif kedua disebut Salleh, yang mana parti berdepan dengan musuhnya, Bersatu dan PAS.

Pemimpin Umno tidak boleh menuduh orang Melayu lupa jasanya kepada negara sejak berdekad lalu, katanya.

Azmi berkata, apabila Salleh menyebut Umno perlu memilih ‘sikap paling sesuai’, ia merujuk apa yang boleh dilakukan parti kepada negara dan rakyat, terutama kepada orang Melayu.

Bina semula dari bawah

Asrul berkata, bagi mengembalikan keyakinan pengundi, Umno mesti mendengar kebimbangan dibangkit akar umbi dan melakukan kempen dari rumah ke rumah, berhubungan semula dengan ahli parti yang kecewa.

Katanya, paling utama adalah menghapuskan stigma rasuah terhadap parti sama ada melibatkan pemimpinnya mahupun apa jua elemen berkaitan dalam parti.

Pada PRU15, Umno sekadar menguasai 26 kerusi Parlimen dan meraih 31% undi popular.

Prestasi lemah itu berterusan pada PRN enam negeri Ogos tahun lalu, yang mana ia hanya menang 19 kerusi DUN berbanding 108 ditandingi.



Sumber | FMT Malaysia 









........
Komen: ........


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                      ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo